Selepas enam hari, Malaysia kembali mencatatkan satu kes kematian akibat COVID-19 pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes kematian ke-124 merupakan wanita tempatan berumur 63 tahun, mempunyai latar belakang penyakit darah tinggi, kencing manis dan kolestrol berlebihan (hypercholesterolemia).

“Pesakit mempunyai gejala demam dan batuk pada 3 Julai serta mendapat rawatan pada 9 Julai dan dirujuk ke Hospital Umum Kuching pada hari yang sama untuk rawatan lanjut.

“Ujian COVID-19 didapati positif. Keadaan kesihatannya didapati merosot dan kemudian semakin tenat. Dia disahkan meninggal dunia pada 26 Julai 2020 jam 12.04 pagi.

“KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mereka,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata terdapat 13 kes baharu dilaporkan dengan 10 kes merupakan penularan tempatan manakala tiga adalah kes import melibatkan seorang warganegara Malaysia dan dua bukan warganegara yang dibenarkan masuk ke Malaysia.

“Tiga kes import itu adalah dari Pakistan, Kazakhstan (kes di Kuala Lumpur) dan Indonesia (kes di Kelantan).

“Daripada 10 kes penularan di dalam negara, satu kes adalah di kalangan bukan warganegara manakala sembilan kes adalah di kalangan warganegara Malaysia.

“Kes jangkitan dalam negara di kalangan bukan warganegara adalah daripada Kluster Bukit Tiram di Johor,” ujarnya.

Tambah beliau, sembilan kes penularan tempatan pula melibatkan enam kes Kluster Bukit Tiram, satu kes daripada saringan praprosedur di Pahang, satu kes daripada saringan kontak rapat di Sabah dan satu kes daripada Kluster Sentosa.

Sementara itu, enam kes pulih dan dibenarkan discaj direkodkan pada Ahad, menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya daripada COVID-19 sebanyak 8,600 kes.

Dalam perkembangan berkaitan, sehingga 24 Julai 2020, seramai 17,897 pengembara telah mendapat pelepasan daripada menjalani perintah pengawasan serta pemerhatian di rumah dan telah ditanggalkan gelang perintah pengawasan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).

“Bagaimanapun, sehingga 24 Julai, didapati masih terdapat 2,897 orang pengembara yang belum tampil ke PKD untuk mendapat pelepasan.

“KKM akan terus berkerjasama rapat dengan polis untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu terbabit," katanya.