Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini melaporkan sebanyak sembilan lagi kes tambahan bagi pesakit COVID-19 yang dilaporkan kepada Crisis Preparedness and Response Centre (CPRC) Kebangsaan.

Untuk itu, jumlah kumulatif pesakit COVID-19 di Malaysia ialah sebanyak 158 kes.

Menurut Ketua Pengarah KKM, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, daripada kesemua jumlah kes tersebut, sebanyak 26 kes dikesan di kalangan pesakit di bawah pemantauan (PUI).

"Manakala 127 kes dari kalangan kontak rapat, dua kes dalam kalangan severe acute respiratory infection
(SARI) melalui survelan COVID-19.

"Satu kes dalam kalangan influenza-like-illness (ILI) melalui survelan COVID-19 dan dua lagi kes dari Misi Bantuan Kemanusiaan," katanya selepas sidang media Menteri di Jabatan Perdana Menteri di Perdana Putra, Putrajaya pada Khamis.

Bagi perkembangan jumlah kes yang telah pulih, beliau menjelaskan bahawa sebanyak enam kes dibenarkan keluar daripada hospital sebaik sembuh sepenuhnya.

Kesemua kes itu disahkan negatif COVID-19 sebanyak dua kali berturut-turut sebelum dibenarkan pulang.

Demikian itu, terdapat 32 jumlah keseluruhan kes yang telah pulih sepenuhnya setakat ini dari wabak yang dikategorikan sebagai pandemik itu.

BACA: COVID-19: Rakyat Malaysia disaran tangguh perjalanan ke Denmark

BACA: COVID-19: UiTM tangguh Istiadat Konvokesyen Ke-92 di semua kampus seluruh negara

BACA: COVID-19: Jumlah jemaah dikurangkan, khutbah dipendekkan di Singapura

Disoal mengenai rangka kerja yang digunakan oleh pihak KKM bagi membendung penularan wabak COVID-19 dalam negara, beliau memberitahu bahawa pihaknya hanya menggunakan kaedah penjarakan sosial bagi mengesan kontak rapat dan sebagainya.

"Itu adalah berdasarkan kepada piawaian yang biasa, apa yang penting adalah tentang pengurusan dalam masalah penyebaran maklumat palsu menerusi media sosial," tambahnya lagi.