Dua lagi kawasan disenaraikan sebagai zon merah COVID-19 pada Rabu, lapor Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Kementerian Kesihatan (KKM).

Sepang di Selangor dan Kota Samarahan di Sarawak yang sebelum ini zon jingga kini dikategori sebagai zon merah selepas lebih 40 kes positif direkodkan.

Penambahan dua lagi kawasan itu menjadikan jumlah keseluruhan zon merah kini meningkat kepada 23 lokasi setakat ini.

Berdasarkan statistik yang dimuat naik di Twitter KKM hari ini, lokasi terbaharu itu membabitkan daerah Sepang, Selangor dengan 46 kes, serta Kota Samarahan, Sarawak, dengan 42 kes setakat 12 tengah hari semalam (7 April).


Daerah lain yang turut dikategorikan sebagai zon merah adalah Cheras, Kepong, Lembah Pantai dan Titiwangsa (Kuala Lumpur); Petaling, Hulu Langat, Gombak dan Klang (Selangor); Batu Pahat, Johor Bahru dan Kluang (Johor) serta Seremban dan Rembau (Negeri Sembilan).

Wilayah Persekutuan Putrajaya; Hilir Perak dan Kinta (Perak); Jasin (Melaka), Kota Bharu (Kelantan); Jerantut (Pahang); Tawau (Sabah); dan Kuching (Sarawak).

Sementara itu, Lembah Pantai mencatatkan kawasan tertinggi positif COVID-19 iaitu sebanyak 412 kes, manakala Hulu Langat dan Petaling masing-masing mencatat 345 dan 306 kes positif COVID-19.

Zon merah dikategorikan bagi jumlah melebihi 41 kes, zon jingga (20-40 kes), zon kuning (1-19 kes) dan zon hijau tiada kes.

Setakat ini, Selangor masih mencatat bilangan kes paling tinggi positif COVID-19 iaitu sebanyak 1,020 kes, manakala Perlis kekal merekodkan kes terendah (17).

Dalam pada itu, Malaysia mencatatkan penurunan kedudukan dalam senarai negara dijangkiti pandemik COVID-19 di dunia, apabila negara menghuni tangga ke-30 semalam dengan 3,963 kes positif dan 63 kematian.

Berdasarkan statistik itu, kedudukan terbaharu itu menunjukkan perkembangan positif berbanding kedudukan pada 6 April, iaitu di tangga ke-29.

Negara jiran, Filipina di tangga ke-34 (3,660 kes), Indonesia (2,491 kes) dan Thailand (2,258 kes) pula masing-masing berada di kedudukan ke-38 dan ke-41, manakala Singapura (1,309) di tangga ke-54 senarai itu.

Sementara itu, Amerika Syarikat dengan 368,449 kes dan Sepanyol (136,675 kes) masing-masing berada di kedudukan teratas dengan jumlah paling ramai dan kedua dunia, diikuti Itali di kedudukan ketiga dengan 132,547 kes.

Jumlah keseluruhan kes COVID-19 seluruh dunia dilaporkan sebanyak 1,351,011 kes, yang melibatkan 285,517 kes sembuh manakala 74,871 kematian.