Singapura merekodkan 132 kes baharu COVID-19 dalam tempoh 24 jam lepas dengan enam daripadanya adalah kes import.

Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan republik itu hari ini, kesemua kes import telah diletakkan di bawah notis kuarantin di rumah (SHN) sejurus tiba di tanah air.

Menurut kementerian itu, kes baharu tersebut turut merekodkan satu kes jangkitan dalam komuniti melibatkan rakyat tempatan, sementara yang lain merupakan pemegang pas kerja yang tinggal di asrama mandiri yang turut berfungsi sebagai pusat kuarantin.

Susulan perkembangan terbaharu itu, kes keseluruhan jangkitan COVID-19 di Singapura kini berjumlah 54,929.

Berdasarkan data penuh yang dikeluarkan lewat Jumaat, kementerian itu berkata ujian saringan ke atas kesemua pekerja di asrama, kecuali beberapa blok asrama mandiri yang berfungsi sebagai pusat kuarantin, telah selesai.

Menurut kementerian itu pekerja yang berada di pusat kuarantin tersebut akan disaring selepas tempoh pengasingan mereka tamat, justeru dijangkakan jumlah kes pada hari-hari mendatang kekal tinggi sebelum mencatatkan penurunan.

Setakat tengah hari Jumaat, Singapura mengklasifikasikan 739 kes yang dilaporkan sebagai kes import, 2,190 kes jangkitan dalam komuniti dan 51,868 melibatkan penghuni asrama pekerja.

Pada masa sama, seramai 48,312 pesakit atau kira-kira 88 peratus telah pulih sepenuhnya daripada jangkitan dan dibenarkan keluar dari hospital atau pusat jagaan komuniti.

Dalam pada itu, 124 kes yang disahkan masih dirawat di hospital dengan kebanyakannya berada dalam keadaan stabil atau bertambah baik dan tiada yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Sebanyak 6,334 kes yang mempunyai gejala ringan atau sihat dari segi klinikal namun diuji positif COVID-19 telah diasing dan dirawat di pusat komuniti.

Setakat ini Singapura merekodkan 27 kematian akibat COVID-19.

Satu kluster baharu turut dikenal pasti semalam, iaitu asrama di 66 Tech Park Crescent.