Saudara serta kenalan rapat disaran memberi sokongan moral kepada ahli keluarga dan mangsa COVID-19 agar mereka kekal bersemangat dari segi fizikal dan mental untuk terus melawan wabak itu.

Pakar Psikologi Klinikal yang juga Pensyarah Universiti Perdana, Darlina Hani Fadil Azim, berkata perhubungan secara maya (menggunakan kemudahan teknologi) seperti memberi kata semangat dan nasihat berguna kepada mereka antara pendekatan terbaik.

Ini boleh dilakukan orang ramai ketika ini termasuk dengan menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti aplikasi Whatsapp dan panggilan video di peranti mudah alih.

''Kita kena bagi sokongan moral kepada mereka selain menolak stigma sesetengah masyarakat yang menganggap golongan atau kontak rapat dengan pesakit COVID-19 ini perlu dipinggirkan.

''Walaupun kita perlu jauhi mereka tetapi sokongan dan hubungan kita dengan mereka perlu diteruskan menggunakan pelbagai platform teknologi terkini,'' katanya kepada Bernama TV ketika dihubungi pada Isnin.

''Waris juga dinasihatkan supaya tidak mengabaikan kesihatan meskipun emosi ketika ini sedikit terganggu, penjagaan jasmani dan rohani perlu dititikberatkan dalam mendepani fasa kritikal ini.

''Cukup tidur, jangan kurang tidur dan pastikan mengambil makanan yang seimbang dan melakukan senaman ketika berada di rumah,'' katanya.

Sebanyak 212 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif positif 1,518 kes.

Daripada jumlah itu 123 kes positif berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling. Empat lagi kematian akibat COVID-19 dicatatkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan yang meninggal dunia sehingga kini akibat wabak itu di Malaysia sebanyak 14 orang.

-- BERNAMA