Kementerian Kesihatan menyambut baik keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia dapat membantu kementerian tersebut dalam memerangi pandemik COVID-19.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata pelaksanaan tersebut masih di peringkat pertengahan dan memerlukan tindakan pencegahan serta kawalan yang berterusan.

“Ini dapat diperhatikan daripada trend kes COVID-19 dan trajektori yang diunjurkan melalui kajian yang telah dijalankan oleh KKM.

“Malahan ia perlu dipesatkan lagi bagi memutuskan rantaian penularan jangkitan ini melalui peningkatan aktiviti sedia ada serta beberapa pendekatan baharu dan khusus kepada kumpulan sasar tertentu.

“Ini adalah wajar, sepertimana yang disebut sendiri oleh Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus pada 25 Mac iaitu tindakan agresif seperti melaksanakan PKP dapat memberi peluang kepada sesebuah negara untuk mengharungi jangkitan COVID-19.

“Dr Tedros turut mengingatkan bahawa tindakan untuk menamatkan perintah ini dengan terlalu awal boleh mengakibatkan penularan semula COVID-19 di sesebuah negara,” katanya dalam sidang media harian, di sini pada Jumaat.

Ujarnya, tindakan menamatkan PKP terlalu awal dibimbangi boleh merancakkan kembali jangkitan dalam kalangan masyarakat khususnya warga emas dan yang berisiko tinggi.