Malaysia mempunyai kemampuan makmal terbaik di dunia, namun bantuan daripada kerajaan masih diperlukan untuk memastikan kecekapan dapat terus dipertingkatkan.

Pengarah Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM, Prof Datuk Dr Hanafiah Harunalrashid memaklumkan, antara kemudahan yang memerlukan perhatian khususnya bagi proses saringan COVID-19 ialah kit pengujian.

"Kit ini tidak dihasilkan dalam negara, sebaliknya diimport dari luar. Masalahnya, kebanyakan kit ini dihantar ke Eropah dan Amerika Syarikat kerana di situ ialah epicentre bagi wabak ini sekarang. Jadi sukar untuk kami mendapatkan kit berkenaan.

"Kami cuba untuk mempertingkatkan jumlah saringan setiap hari supaya pengesanan boleh menjadi lebih efektif, tetapi tanpa kit ini, perkara itu agak sukar dilaksanakan," kata beliau ketika ditemubual secara langsung dalam Buletin AWANI pada Khamis.

Dalam masa yang sama, beliau turut memaklumkan, masih terdapat keperluan untuk mendapatkan lebih banyak sut peralatan perlindungan diri (PPE) bagi kegunaan petugas perubatan.

"Pemakaian topeng dan sut itu memang tidak menyelesakan, tetapi saya bangga dengan komitmen kesemua petugas. Mereka tidak mengeluh malah sentiasa bersedia memberikan khidmat.

"Risiko yang dihadapi petugas di bahagian makmal sama sahaja dengan petugas perubatan di bahagian depan.

"Tetapi kami akan memastikan setiap petugas tidak kira di bahagian mana pun, dibekalkan dengan kelengkapan keselamatan yang diperlukan. Malah mereka juga dilatih untuk menggunakan kelengkapan dengan betul.

"Kami juga akan mengambil suhu badan mereka setiap hari. Sememangnya, keselamatan dan kesihatan petugas menjadi keutamaan," katanya.