Umat Islam perlu menerima hakikat sambutan Hari Raya Aildilfitri beberapa hari akan datang tidak semeriah tahun lepas.

Pendakwah Bebas, PU Amin berkata, jika sebelum ini mungkin ramai yang banyak makan, tidur dan bersuka-ria bersama yang tersayang ketika menyambut Syawal, namun situasinya pasti berbeza tahun ini.

“Meriahnya hari raya sebelum ini ada tiga benda, mungkin sebab kita banyak tidur, banyak makan, banyak gelak. Tiga benda ini yang menyebabkan hati mati.

“Untuk waktu ini, kawalan kendiri boleh menyebabkan kita tak banyak sangat gelak, tak banyak sangat makan dan mungkin kita tak banyak tidur sebab kita banyak gunakan masa yang ada ini untuk mengeratkan hubungan kita menggunakan dalam talian contohnya.

“Kita masih boleh menghubungi keluarga di kampung,” katanya kepada Astro AWANI.

Tambahnya, meskipun umat Islam tidak dapat melakukan aktiviti ziarah seperti biasa namun beliau menegaskan hubungan sesama manusia bukan sekadar ziarah semata-mata.

“Hubungan sesama manusia ini bukan sekadar ziarah tapi sedekah pun boleh. Jadi kalau kita tak boleh jumpa orang, kita tahu ada orang tua sakit, ada orang lumpuh, cacat di kampung kita, kita boleh minta nombor akaun mereka dan transfer duit kepada mereka.

“Teruskan sedekah walaupun selepas bulan Ramadan,” katanya.

Dalam pada itu, Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, umat Islam terpaksa mengubah kelaziman yang dilakukan pada tahun lepas demi mengelak kemudaratan.

“Dalam Islam, dikehendaki umatnya supaya tidak mendedahkan diri kepada bahaya. Demi untuk mengelakkan jangkitan pandemik ini, terpaksalah kita mengehadkan perayaan berbanding tahun lepas,” katanya.