Sarawak tidak mencatatkan sebarang kes positif COVID-19 selama tujuh hari berturut-turut sejak Isnin lalu, menjadikan jumlah keseluruhan kes kekal sebanyak 571 kes.

Dalam laporan terbaharu Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak pada Ahad, satu kes dilaporkan telah sembuh dan dibenarkan keluar dari Hospital Umum Sarawak (HUS).

Jumlah kumulatif bagi kes yang telah sembuh dan discaj setakat ini adalah 546 orang atau 95.62 peratus daripada keseluruhan kes.

Sementara itu, jumlah kes kematian melibatkan virus tersebut di negeri itu kekal 17 mangsa.

Dalam perkembangan sama, JPBN turut memaklumkan pertukaran status daerah Bintulu daripada zon kuning kepada zon hijau.

Memetik kenyataan itu, setakat ini dua daerah sahaja masih berstatus kuning iaitu Kuching dan Sibu, manakala 38 daerah lagi berstatus hijau.

Bagi kes individu dalam siasatan (PUI) pula, sebanyak enam kes baharu dilaporkan hari ini dengan lima kes masih menunggu keputusan ujian makmal.