Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

COVID-19: Tiada lagi penginapan percuma, caj kuarantin hotel dikenakan bermula 1 Jun

COVID-19: Tiada lagi penginapan percuma, caj kuarantin hotel dikenakan bermula 1 Jun
Jelas beliau, caj 100 peratus daripada kadar bayaran hotel bakal dikenakan kepada bukan warganegara, sementara 50 peratus bagi warganegara Malaysia.
PUTRAJAYA: Tiada lagi penginapan secara percuma bagi mana-mana individu yang memasuki pintu masuk negara bermula pada 1 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata mereka yang dikuarantin bakal dikenakan caj kuarantin hotel bermula tempoh tersebut termasuk warganegara dan bukan warganegara.

Jelas beliau, caj 100 peratus daripada kadar bayaran hotel bakal dikenakan kepada bukan warganegara, sementara 50 peratus bagi warganegara Malaysia.

"Sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah membuat keputusan bagi mengenakan caj kuarantin hotel ke atas semua individu yang memasuki pintu masuk negara bermula 1 Jun 2020.
"Walau bagaimanapun bukan warganegara Malaysia termasuk permastautin tetap dan lain-lain, mereka akan dikenakan caj hotel sepenuhnya," katanya dalam sidang media harian, di sini pada Rabu.

Dalam pada itu, Ismail Sabri menambah MKN turut membuat keputusan mewajibkan semua individu yang ingin pulang ke negara ini untuk menandatangani Surat Setuju Pembayaran.

Ujarnya, Surat Setuju Pembayaran 50 peratus bagi warganegara Malaysia dan 100 peratus bagi bukan warganegara boleh dibuat melalui pejabat Kedutaan Malaysia yang terdekat.

"Pejabat Kedutaan Malaysia juga akan mengeluarkan Surat Kelulusan untuk pulang ke Malaysia.

"Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) akan mengeluarkan arahan kepada semua syarikat penerbangan untuk memastikan Surat Kelulusan dijadikan syarat kepada semua penumpang.

"Seperti saya sudah sebutkan dahulu, ramai dalam kalangan bukan warganegara Malaysia yang berkahwin dengan rakyat Malaysia, yang dikuarantin iaitu pemegang pas permastautin tetap enggan membayar apabila mereka ingin keluar.

"Sebab itu kita mahu mereka tanda tangan dahulu surat Akur Janji bayar sebelum mereka pulang ke tanah air," jelasnya.

Ismail Sabri berkata seramai 38,371 rakyat Malaysia yang pulang dari luar negara telah dikuarantin wajib sejak 3 April 2020.

"Sehingga hari ini, seramai 30,200 individu telah selesai menjalani tempoh kuarantin wajib dan dibenarkan pulang.

"Setakat semalam, seramai 252 rakyat Malaysia telah pulang ke tanah air dan dikuarantin wajib," katanya.


Tag: PAS, rakyat Malaysia, penerbangan, koronavirus, hotel, ismail sabri yaakob, Caj kuarantin, PKP, COVID-19, PKPB



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.