Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) menyokong tindakan yang diambil kerajaan Malaysia terhadap pendatang tanpa izin (PATI) semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam usaha menangani pandemik COVID-19.

Mereka berpendapat kebajikan golongan itu terpelihara di negara ini sehingga menyebabkan Malaysia dianggap sebagai 'syurga' buat PATI yang menyaksikan beratus-ratus warga asing cuba menceroboh masuk sempadan negara setiap hari untuk mencari rezeki.

Pengerusi Badan Bukan Kerajaan (NGO) Antarabangsa Datuk Dr Mustapha Ahmad Merican berkata kenyataan bahawa Malaysia tidak bersimpati terhadap PATI adalah salah sebaliknya mereka telah dilayan dengan baik.

"Apa yang dilakukan kerajaan ketika PKP adalah tepat, lebih-lebih lagi wujud kluster dalam kalangan warga asing sebelum ini.

"Kalau tidak disekat ketat, bimbang pandemik itu akan merebak. Ini kerana kebanyakan mereka tidak mementingkan soal kebersihan dan cenderung menyebarkan jangkitan ini kepada rakyat kita," katanya merujuk kepada tindakan pihak berkuasa Malaysia menangkap dan menghantar PATI pulang.

Malah, kata beliau kerajaan memperuntukkan perbelanjaan yang besar bagi menanggung kos menjaga mereka yang ditahan termasuk penyediaan makanan, tempat tinggal dan rawatan kesihatan golongan itu ketika pelaksanaan PKP.

"Jadi tidak timbul soal kita melayan mereka tidak baik, ada negara lain yang menggunakan sistem yang menyaksikan mereka tidak 'simpan' PATI, mereka akan terus ditangkap dan perlu pula membayar denda mengikut tempoh berada di negara berkenaan. Sebaliknya negara kita tidak buat begitu malah mereka diberi perlindungan pula," katanya kepada Bernama.

Mustapha juga berkata kerajaan perlu bertindak tegas dalam isu penghantaran pulang golongan itu namun menyarankan agar perlu ada jaminan keselamatan daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan Suruhanjaya Tinggi PBB Mengenai Pelarian (UNHCR) bagi PATI tertentu.

"Ini bagi mengelakkan mereka ini dibunuh apabila pulang, jadi kita kena ada jaminan keselamatan mereka juga, perlu ada sikap kemanusiaan," katanya sambil menambah media antarabangsa perlu lebih berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham.

Al Jazeera hari ini menyiarkan dokumentari bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 20.25 minit yang mengecam layanan terhadap PATI ketika Malaysia mengendalikan langkah menangani COVID-19.

Mengulas laporan itu, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba berkata dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana Malaysia memperkenalkan PKP untuk menyelamatkan orang ramai daripada COVID-19 tanpa mengira warganegara atau bukan warganegara.

"Laporan Al Jazeera itu adalah satu tuduhan yang tidak betul. Menyelamatkan warganegara atau bukan warganegara merupakan satu tindakan di bawah Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) bagi menangani wabak COVID-19," jelasnya.

Pengerusi Majlis Bertindak NGO Malaysia (MYNAC) Mohd Ridzuan Abdullah pula berkata Malaysia merupakan sebuah negara yang mengamalkan dasar terbuka dalam menerima pendatang dan juga pekerja asing tanpa sebarang diskriminasi.

Malah, katanya dasar keterbukaan itu juga menyebabkan Malaysia dianggap sebagai 'syurga' buat PATI.

Beliau juga yakin bahawa segala tindakan yang diambil pihak kerajaan adalah berlandaskan undang-undang dan keperluan semasa terutama dalam menangani serta mengawal penularan pandemik COVID-19.

"Kita (Malaysia) juga berhak untuk melakukan sebarang tangkapan sekiranya mereka datang tidak ikut undang-undang.

"Walaupun kita tangkap mereka tetapi kita masih beri layanan yang baik kepada mereka seperti kita beri makanan semasa mereka dalam tahanan, kita juga tanggung kos yang tinggi," katanya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata kerajaan tidak akan tunduk terhadap desakan mana-mana kumpulan hak asasi manusia yang mendakwa tindakan penahanan PATI sebagai satu diskriminasi.

Menegaskan perkara itu, beliau berkata golongan tersebut memasuki negara ini secara haram justeru mereka wajar dikenakan tindakan undang-undang.

-- BERNAMA