Kerajaan memutuskan untuk mengagihkan topeng muka secara percuma kepada rakyat Malaysia yang memerlukan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, langkah mengimport itu diperlukan selagi tahap bekalan topeng muka oleh pengeluar tempatan di negara ini tidak mencapai tahap yang memuaskan, dan tidak memenuhi keperluan domestik negara ini.

“Sementara bekalan (oleh pengeluar tempatan) belum sampai tahap memuaskan, kita ambil keputusan untuk mengimport dari China sebanyak 10 juta keping, yang patutnya dapat diusahakan dengan segera,

“Semalam saya arahkan NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara), agensi bertanggungjawab untuk mala petaka supaya mereka keluarkan peruntukan yang disediakan kerajaan, harga saya diberitahu lebih RM1.18 sen sekeping.

“Saya nak umum, kita akan agih secara percuma kepada seluruh rakyat malaysia yang memerlukan, itu merupakan sumbangan kerajaan,” katanya dalam Sidang Media Khas Perdana Menteri selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) di sini hari ini.

Mengenai harga siling topeng, Muhyiddin berkata, beliau telah arahkan Menteri Kanan (Pertahanan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Kanan (Infrastruktur) Datuk Seri Fadilah Yusof, bersama-sama dengan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Alexander Nanta Linggi untuk berbincang dengan pengeluar.

Perdana Menteri berkata, harga kawalan itu perlu diteliti supaya tidak terlalu tinggi, apatah lagi negara berada dalam keadaan agak krisis seperti ini.

Selain itu, Muhyiddin berkata, beliau mengharapkan agar pengeluar tempatan dapat terus menghasilkan topeng muka secara mencukupi walaupun mereka mempunyai sedikit masalah mendapatkan bekalan bahan mentah dari negara luar.

“Kita harap ia dapat diatasi dan dapat dilaksanakan, kerana pengeluaran kapasiti topeng (untuk negara ini) saya dimaklumkan 2 atau 3 juta keping setiap bulan.

“Kalau dapat diusahakan saya fikir bekalan lebih dari memadai, lebih lebih lagi sudah diputuskan pihak Kastam Diraja Malaysia supaya pengeksportan topeng ke luar negara tak dibenarkan. Ini bagi pastikan bekalan kita mencukupi,” katanya lagi.