Universiti Malaya (UM) menegaskan tidak pernah mengarahkan sekumpulan sukarelawan yang terdiri daripada penuntut mereka untuk mengendalikan program mobiliti membabitkan pelajar yang berasal atau baru pulang dari China seperti yang tersebar di laman sosial.

UM dalam satu kenyataan hari ini berkata, keseluruhan proses pemeriksaan kesihatan dilakukan sepenuhnya oleh pasukan perubatan di bawah Klinik Kesihatan Pelajar yang terdiri daripada pegawai perubatan dan ahli paramedik.

Jelas kenyataan itu lagi, Prosedur Pengawasan Terpusat itu dijalankan di Kolej Kediaman ke-10 (KK10) berdasarkan protokol yang dirangka selari dengan ketetapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

“Pada masa yang sama, terdapat sekumpulan 14 orang sukarelawan pelajar yang pada asalnya berada di KK10 bagi memberikan perkhidmatan sukarela mereka bagi program yang berbeza.

“Namun, apabila universiti mengambil keputusan untuk melaksanakan prosedur Pengawasan Terpusat ini, mereka secara sukarela menawarkan diri untuk membantu atas dasar kemanusiaan.

“Para sukarelawan pelajar ini telah diberikan tugas untuk membantu urusan pendaftaran dan periksa masuk iaitu penyerahan kunci bilik kepada para pelajar yang akan melalui prosedur Pengawasan Terpusat tersebut,” demikian menurut kenyataan itu, sebentar tadi.

Mengulas lanjut, UM berkata penglibatan dan peranan yang dimainkan sukarelawan tersebut kemudian diambilalih secara beransur-ansur oleh kakitangan universiti.

Ini bagi memberi ruang kepada mereka untuk membuat persediaan sebelum kuliah bermula dan sebagai langkah pengawalan risiko.

[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Malah kenyataan itu menambah kesemua petugas dan sukarelawan telah diberikan taklimat berhubung tatacara pencegahan dan kawalan jangkitan, selain dibekalkan dengan topeng muka dan bahan pembersih tangan (hand sanitizer).

Terdahulu, media melaporkan seramai 14 sukarelawan tersebut hanya menawarkan diri untuk mengendalikan sesi pendaftaran dan orientasi kepada pelajar baharu pada permulaan setiap semester.

Bagaimanapun, pihak universiti didakwa meminta kumpulan sukarelawan tersebut mengendalikan ‘pengasingan’ pelajar China yang baru kembali untuk semester baharu sehingga mencetuskan kebimbangan mengenai jangkitan wabak COVID-19.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mendapatkan penjelasan daripada Universiti Malaya (UM) berhubung perkara itu.

Dalam sidang media petang tadi, Dr Wan Azizah mengakui setakat ini KKM tidak menerima sebarang makluman daripada UM berhubung dakwaan tersebut.

“Pihak Universiti Malaya mesti bertanggungjawab memberikan perlindungan pada sesiapa dan rakyat Malaysia yang berisiko mestilah dijaga sebaik mungkin.

“(KKM) tidak dimaklumkan mengenai pelajar berkenaan (yang menjadi sukarelawan mengendalikan pelajar China),” katanya lagi.