Keadaan cuaca kering di Kelantan masih terkawal dan belum sampai ke tahap kritikal kata Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Beliau berkata kerajaan negeri memantau perkembangan semasa dan sentiasa menerima laporan daripada agensi-agensi berkaitan.

"Tiada laporan kritikal (yang diterima setakat ini). Cuma ada tempat-tempat air yang surut tapi belum sampai peringkat kritikal. Kita ada sumber air bawah tanah cuma proses untuk bawa keluar sukar sedikit.

"Kita ada buat telaga jejari tapi nak keluarkan sumber dalam kapasiti yang besar itu memakan masa. Kalau keadaan mendesak, selain usaha-usaha fizikal kita akan adakan solat sunat Istiqsa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Mengulas mengenai dakwaan air Sungai Kelantan tercemar, beliau berkata bekalan air daripada sungai tersebut masih selamat dan boleh diminum.

Cuma air memang keruh, itu memang kita akui. Puncanya macam-macam seperti hakisan, kegiatan-kegiatan pertanian atau perladangan (di kawasan hulu Kelantan).

"Kita minta laporan rasmi tentang keadaan air Sungai Kelantan daripada agensi berkaitan dan mereka akan mengambil tindakan berdasarkan bidang masing-masing," katanya.

Ditanya mengenai hukuman penjara selama 10 tahun dikenakan kepada penghina agama Islam dan Nabi Muhammad SAW yang dikatakan terlalu tinggi, Mohd Amar yang juga Naib Presiden PAS berkata beliau setuju dengan hukuman itu.

"Secara peribadi saya setuju dengan hukuman itu kerana ia akan memberi peringatan keras kepada semua pihak. Kalau kita menunjukkan sikap linear kita seolah-olah menggalakkan orang untuk buat main-main dengan perkara ini," katanya.