Cubaan bakar diri, perunding perkahwinan meninggal dunia

Cubaan bakar diri, perunding perkahwinan meninggal dunia
Perunding perkahwinan berusia 37 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia. -Gambar hiasan
BESUT: Lelaki yang dipercayai cuba membakar diri dalam kereta di tepi jalan Kampung Tok Has, di sini Khamis lepas disahkan meninggal dunia petang tadi.

Perunding perkahwinan berusia 37 tahun itu meninggal dunia ketika menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM), Kubang Kerian, Kelantan kira -kira jam 3.40 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi ketika dihubungi mengesahkan mangsa dari Kota Bharu, Kelantan meninggal dunia akibat kecederaan dialami dalam kejadian kira-kira jam 12 tengah hari.

Menurutnya, dalam kejadian itu, mangsa melecur di bahagian muka dan kepala selepas dipercayai menyiram petrol di bahagian tersebut sebelum menyalakan api di dalam kereta Proton Gen 2 yang dipandunya seorang diri.

"Polis menemui satu botol air minuman berisi petrol yang dipercayai digunakan mangsa untuk melakukan perbuatan tersebut atas kerusi tempat duduk pemandu," katanya.

Difahamkan motif mangsa bertindak demikian kerana mangsa mengalami tekanan perasan dan tidak dapat menerima kenyataan apabila disahkan menghidap barah usus.