Polis telah menahan dua orang lelaki dipercayai suspek dalam sebuah kes samun barang kemas yang viral di laman sosial baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Sum Chang Keong berkata, kedua-duanya kini ditahan reman bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan

"Polis kini telah menahan dua orang suspek lelaki untuk membantu siasatan," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Sum berkata, suspek pertama yang ditangkap pada Jumaat akan direman sehingga 2 November dan mempunyai satu rekod lampau dadah.

Sementara itu, tangkapan kedua pada Sabtu akan direman selama empat hari sehingga 31 Oktober.



Lelaki kedua juga mempunyai satu rekod jenayah di bawah kesalahan kecurian barang di bawah Seksyen 414 Kanun Keseksaan.

"Suspek tidak sempat mengambil apa-apa barang mangsa dan kes akan disiasat di bawah Seksyen 393 Kanun Keseksaan iaitu cubaan samun," tambahnya.

Sebelum ini, Sum memberitahu, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian ragut daripada seorang kerani wanita dan melaksanakan siasatan.

Menurutnya, suspek dipercayai telah meragut rantai emas kerani itu di hadapan kediamannya di Desa Permai, Chemor, pada Rabu (25 Okt) sebaik sahaja mangsa sampai di situ.

"Suspek bertindak datang dari belakang dan menarik rantai leher mangsa. Mangsa kemudian telah melawan suspek dan terjatuh sebelum menjerit meminta tolong.

"Suami mangsa kemudian menyedari, dan sebaik sahaja suaminya keluar dari rumah, suspek telah melarikan diri menggunakan sebuah motosikal bersama kawannya," kata Sum.

Suami mangsa telah mengejar suspek tetapi kemudiannya jatuh ditolak oleh suspek yang berjaya melarikan diri.