Tutup

Cubaan seludup bunga ros, mangga dari negara jiran gagal

Cubaan seludup bunga ros, mangga dari negara jiran gagal
Sebahagian daripada 500kg mangga bernilai RM600 yang dirampas MAQIS. - Foto Astro AWANI
BUKIT KAYU HITAM: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) negeri Kedah berjaya menggagalkan cubaan membawa masuk keluaran pertanian dari negara jiran, melalui Kompleks Kastam, Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Dalam pemeriksaan yang dijalankan pada jam 11 malam tadi, dua buah lori didapati cuba membawa masuk produk pertanian tanpa dokumen yang sah, seperti permit import yang dikeluarkan MAQIS dan sijil fitosanitasi dari negara asal.
Produk yang dirampas tersebut terdiri daripada bunga ros sebanyak 57.60 kilogram (kg) dengan nilai RM576 dan 500kg mangga bernilai RM600. 

Pengarah MAQIS Kedah Lily Rosalind berkata, perbuatan mengimport keluaran pertanian tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).
Pesalah boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta yang sama yang menetapkan denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Penahanan konsainan ini adalah bagi mengekang kemasukan serangga perosak.

"Sekiranya serangga perosak ini terlepas ke dalam Malaysia, ia boleh menyebabkan industri pertanian terjejas.

"Hal ini boleh menyebabkan pengusaha tanaman pertanian menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal," tambahnya.

Akta 728 digunapakai bagi memastikan kawalan penyakit haiwan/ikan/tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan mematuhi aspek kesihatan manusia serta dapat mengawal kemasukan perosak merbahaya yang boleh mengancam industri pertanian negara.

Kesemua bunga ros dan buah mangga tersebut ditahan dan akan dilupuskan mengikut prosedur operasi piawai yang telah ditetapkan.