Jabatan Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas ratusan kilogram hasil keluaran pertanian yang cuba di seludup menggunakan laluan kargo komplek ICQS Bukit Kayu Hitam, Kedah.

Operasi dilakukan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kira-kira jam 11.30 malam pada Isnin itu menahan sebuah lori yang membawa hasil keluaran pertanian tersebut.

Hasil pemeriksaan mendapati sebanyak 752.94 kilogram (kg) cili padi, 520kg ubi keladi, 300kg mangga, 270kg halia, 151.84kg bunga, dan 116kg buah dan daun limau purut tanpa dokumen yang sah.

Menurut Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind, barangan pertanian yang dianggarkan bernilai RM10,000 itu akan disita dan syarikat pengimport akan dikenakan kompaun.

Katanya, penahanan hasilan keluaran pertanian itu bagi mengawal kemasukan perosak seperti serangga perosak buah dan penyakit yang boleh merosakkan industri pertanian dalam negara jika tidak dikawal dengan sebaiknya.

Hal ini boleh menyebabkan pihak kerajaan menanggung kerugian yang tinggi jika penyakit ini tidak dikawal.

Selain itu, perbuatan mengimport sesuatu barangan tanpa permit yang sah adalah satu kesalahan di bawah Sekyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin aan Pemeriksaan Malaysia (Akta 728).

Sabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) yang boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.