MALAYSIA
Cuepacs gesa keputusan tutup pejabat Tourism Malaysia ditangguh

AZIH: Pengumuman dibuat secara serta-merta tanpa notis dan tiada pemakluman awal kepada pekerja yang sedang berkhidmat. -Pix from cuepacs.blogspot.my
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menuntut pengurusan tertinggi Tourism Malaysia untuk menangguhkan penutupan pejabat demi kebajikan pekerja.
Presidennya, Datuk Azih Muda mendesak agar keputusan seperti ini tidak dilakukan secara serta-merta kerana memberi kesan kepada moral dan kebajikan pekerja.
"Pengumuman itu dibuat secara serta-merta tanpa notis dan tiada pemakluman awal kepada pekerja yang sedang berkhidmat.
"Sekarang ini, arahan penutupan serta-merta hanya diketahui menerusi laporan media dan pekerja bingung dengan status mereka," katanya dalam sidang media di Wisma Cuepacs pada Rabu.
"Kita kecewa kerana tiada pemberitahuan oleh kepimpinan Tourism Malaysia berkenaan keputusan ini.
"Takkanlah sebab nak jimat RM6 juta, tak fikirkan kebajikan pekerja.
"Justeru itu saya merayu kepada Perdana Menteri untuk beri ruang kepada pekerja-pekerja ini gambaran yang jelas tentang penempatan baharu mereka nanti," tambahnya.
Cuepacs pada masa sama turut menuntut agar kajian terperinci diadakan berkaitan keputusan penutupan pejabat negeri memandangkan Tourism Malaysia memainkan peranan penting dalam mempromosi dan menggalakkan produk pelancongan Malaysia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami