Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap gaji minimum bagi penjawat sebanyak RM1,200 sebulan antara yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurut Presidennya, Datuk Azih Muda, kenaikan gaji itu dari RM900 kepada RM1,200 sebulan itu diharap mampu meringankan beban penjawat awam bagi menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

Beliau berkata, penjawat awam telah lama menunggu kenaikan gaji tersebut dan berharap Perdana Menteri dapat mengumumkan sesuatu yang menggembirakan mereka menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang menyusul kemudian.


Selain itu, pihaknya turut meminta agar elaun rumah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diseragamkan memandangkan kadar sewa rumah agak tinggi pada masa ini.

Katanya, elaun rumah di Semenanjung ketika ini pada kadar RM180 sebulan sedangkan sewa rumah telah mencapai lebih RM300 sebulan.

Perhimpunan Penjawat Awam yang akan berlangsung pada 17 Jun ini bertempat di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).