Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat mengekalkan keputusan asal melaksanakan penebusan awal gantian cuti rehat (GCR) sebanyak 75 hari untuk ganjaran wang tunai kepada penjawat awam.

Presidennya Adnan Mat berkata ia berikutan fasa pelaksanaan penebusan GCR telah berada di peringkat pindaan sedikit undang-undang bagi membolehkan ia dilaksanakan.

"Perkara ini sepatutnya tidak perlu ditangguh kerana ia telah membuang banyak masa untuk mengkaji semula pelaksanaannya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau memberi maklum balas terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Takiyuddin Hassan di Parlimen hari ini bahawa kerajaan memutuskan untuk mengkaji semula cadangan pelaksanaan itu bagi penjawat awam yang telah berkhidmat selama 15 tahun seperti yang diumum dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Menurut Takiyuddin, kajian semula itu dirasakan wajar kerana penebusan awal GCR semasa dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam.

Adnan berkata alasan bahawa penebusan awal GCR semasa dalam perkhidmatan tidak menguntungkan penjawat awam adalah tidak munasabah dan tidak boleh diterima oleh semua penjawat awam termasuk Cuepacs.

Beliau berkata Cuepacs menyanggah alasan itu kerana soal menguntungkan atau tidak adalah perkara subjektif yang ditentukan sendiri oleh penjawat awam yang menerima manfaat itu.

Katanya penebusan GCR kepada wang tunai adalah tidak wajib dan ia merupakan pilihan kepada penjawat awam itu sendiri sama ada mahu menebusnya atau tidak.

"Cuepacs tidak mahu apa jua cadangan untuk penjawat awam yang telah diumumkan sebelum ini dikitar semula bagi dibentangkan dalam mana-mana perancangan atau belanjawan pada masa akan datang," katanya.

"Jika kerajaan tetap memutuskan untuk mengkaji, Adnan berkata ia akan memberi gambaran negatif kepada kerajaan yang dilihat sebagai berdolak-dalik dalam setiap polisi yang mahu dilaksanakan.

"Cuepacs bimbang keyakinan penjawat awam akan terhakis sekiranya banyak perkara berkaitan penjawat awam sering diabaikan walaupun ia boleh dilaksanakan," katanya.

-- BERNAMA