Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) memohon Kementerian Pendidikan mempertimbangkan semula tarikh cuti persekolahan sempena Aidiladha pada 31 Julai ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata ia bagi membolehkan orang ramai dan penjawat awam terutama mereka yang bekerja di perantauan dapat menyambutnya di kampung halaman masing-masing.

"Kebanyakan mereka yang tinggal jauh dari kampung halaman masing-masing telah melakukan perancangan lebih awal berdasarkan cuti persekolahan negara.

"Perubahan takwim persekolahan sudah tentu menyebabkan perancangan orang ramai terjejas. Mereka alami kesukaran untuk merancang semula percutian terutama melibatkan pembelian tiket penerbangan," menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata Cuepacs menerima aduan bahawa ramai penjawat awam serta pekerja di sektor swasta di Sabah dan Sarawak telah menempah lebih awal tiket penerbangan mereka, begitu juga dengan penjawat awam serta pekerja sektor swasta yang berasal dari Sabah dan Sarawak tetapi bekerja di Semenanjung.

Sebelum ini, perayaan Aidiladha jatuh pada minggu cuti sekolah pertengahan penggal kedua iaitu 24 Julai hingga 1 Ogos (Kumpulan A) dan 25 Julai hingga 2 Ogos (Kumpulan B).

Bagaimanapun, rombakan dalam Takwim Persekolahan 2020 yang dilakukan Kementerian Pendidikan menyebabkan Aidiladha jatuh pada minggu persekolahan biasa.

Adnan juga mencadangkan agar tarikh 30 Julai dan 3 Ogos dijadikan cuti khas dan cuti pelepasan untuk perayaan Aidiladha.

"Pemberian cuti khas dan cuti pelepasan ini akan memberi sedikit kelegaan kepada orang ramai, penjawat awam dan para guru yang bergantung sepenuhnya kepada cuti persekolahan untuk bercuti terutama bagi yang mempunyai anak-anak bersekolah.

"Walaupun guru mempunyai cuti rehat khas, sudah pasti ia sukar untuk diluluskan Ketua Jabatan masing-masing memandangkan sesi persekolahan yang berlangsung seperti biasa.

"Ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah juga boleh mengambil peluang untuk sama-sama meraikan perayaan di kampung halaman masing-masing," katanya.

-- BERNAMA