Perlaksanaan Cukai Pelepasan pada September ini adalah bagi menambah baik infrastruktur dalam sektor pelancongan negara .

Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Mohamaddin Ketapi, kutipan cukai itu juga bakal digunakan untuk pembangunan dan menyelesaikan hutang negara.

“Ia tidaklah menjejaskan atau mendatangkan masalah kepada kita, oleh kerana setiap ringgit yang dipungut adalah kebaikan untuk pembangunan negara.

"Di samping itu juga ia akan diguna sebahagiannya bagi menyelesaikan hutang piutang, jadi kita kena terima,” katanya sewaktu ditemubual di program bual bicara Awani Pagi yang membincangkan mengenai Tahun Melawat Malaysia 2020.

Beliau turut menyentuh mengenai usaha penambahbaikan perkhidmatan polis pelancong, ekoran wujud beberapa insiden yang melibatkan pelancong luar.

Bagaimanapun mekanisme penggunaan cukai itu masih dalam perbincangan, terutama sekali dengan Kementerian Kewangan.

“Saya mahu berbincang balik dengan Kementerian Kewangan berhubungkait dengan soal cukai ini, mungkin kalau boleh sebahagiannya kita gunakan untuk memperbaiki khidmat polis pelancong ini, mungkin kita boleh tambah jumlah polis pelancong,” katanya lagi.

TONTON VIDEO: AWANI Pagi: Temubual eksklusif bersama Datuk Mohamaddin Ketapi

Dalam pembentangan Bajet 2019, Kerajaan bercadang mengenakan levi pelepasan bagi semua penumpang udara ke luar negara, iaitu RM20 ke negara ASEAN dan RM40 ke negara lain mulai 1 Jun 2019 dalam usaha menggalak pembangunan pelancongan domestik.

Rang Undang-Undang (RUU) levi pelepasan 2019 bagi menguatkuasakan kutipan levi bagi semua penumpang udara itu, dibentang dan diluluskan di Dewan Rakyat pada April lalu.