Cukai: Penerima e-mel PKPS perlu daftar diri dengan LHDN

Cukai: Penerima e-mel PKPS perlu daftar diri dengan LHDN
Menurut LHDN, penerima e-mel itu juga perlu melaporkan pendapatan jika gaji atau upah bulanan mereka berjumlah RM4,000 ke atas.
KUALA LUMPUR: Individu yang menerima e-mel mengenai Program Khas Pengakuan Sukarela (PKPS) perlu mendaftar diri sebagai pembayar cukai dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM).

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Seri Sabin Samitah berkata penerima e-mel itu juga perlu melaporkan pendapatan jika gaji atau upah bulanan mereka berjumlah RM4,000 ke atas.

"Bagi yang menjalankan perniagaan selain syarikat sendirian berhad yang mempunyai pendapatan tahunan berjumlah kira-kira RM48,000 (atau RM4,000 sebulan) selepas ditolak perbelanjaan operasi dan elaun modal yang dibenarkan, pembayar cukai masih perlu mendaftar sebagai pembayar cukai dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDNM.

"Pendaftaran boleh dibuat di mana-mana cawangan LHDNM atau menerusi sistem e-Daftar di Portal Rasmi LHDNM. Pembayar cukai boleh mengabaikan surat dan e-mel yang diterima daripada LHDNM ini sekiranya pendapatan yang diterima adalah kurang daripada jumlah tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Jelasnya, mana-mana individu juga perlu melaporkan pendapatan kepada LHDNM jika memiliki akaun bank luar negara yang dijana daripada sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai.

Katanya, di bawah inisiatif Pertukaran Maklumat Secara Automatik (AEOI) oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Malaysia telah mula menerima maklumat kewangan khususnya pemilikan akaun bank dari luar negara mulai bulan September 2018.

"Sehubungan itu, sekiranya pembayar cukai mempunyai akaun bank di luar negara yang dijana daripada hasil sumber pendapatan Malaysia yang boleh dikenakan cukai dan masih belum dilaporkan kepada LHDNM, pembayar cukai diminta untuk menghubungi dan melaporkan pendapatan tersebut kepada LHDNM," katanya.

Sementara itu, Sabin berkata pihaknya telah mengambil tindakan terhadap aduan yang diterima berhubung segelintir pegawai yang menjalankan tugas secara tidak profesional, mengugut pembayar cukai dan tidak mengikut prosedur kerja yang ditetapkan.

LHDNM, katanya, sentiasa komited untuk menjalankan tugas dan amanah ke arah menjadi organisasi yang lebih fokus kepada pelanggan.

-- BERNAMA