Lagak tidak ubah seperti filem Hollywood; memecah masuk pusat pameran kereta dan melarikan tiga buah kenderaan jenis Mitsubishi.

Namun tidak sampai seminggu, tiga lelaki berusia 30-an itu berjaya ditahan dalam serbuan berasingan di Karangan dan Serdang, Kedah.

Serbuan dilakukan di ladang kelapa sawit dekat Bukit Selarong oleh sepasukan polis Kulim dan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan Kuala Muda, pada Isnin dan Rabu malam.

Dalam serbuan pertama, polis berjaya menahan dua lelaki yang membawa kepada penemuan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Mitsubishi ASX dan Proton Satria Neo.

Hasil semakan mendapati SUV terbabit dilapor dicuri dari sebuah pusat pameran kereta dekat Amanjaya Sungai Petani.

Kereta Satria Neo itu pula didapati dicuri dari sebuah kedai menjual kereta terpakai di Padang Temusu, Sungai Petani.

Hasil soal siasat membawa kepada penahanan seorang lagi lelaki di Kulim, pada Rabu malam dan penemuan sebuah kenderaan 4x4 jenis Mitsubishi Triton yang diparkir di Dataran Serdang.

Ketua Polis Kuala Muda, ACP Adzli Abu Shah ketika dihubungi, mengesahkan tangkapan.

Polis masih mengesan saki-baki suspek yang dipercayai terlibat dalam sindiket itu bagi membantu siasatan.

Polis juga sedang mengesan sebuah lagi SUV jenis Mitsubishi Outlander yang juga dicuri dari pusat pameran itu.

Pada Khamis, ketiga-tiga lelaki berkenaan dibawa ke Mahkamah Sungai Petani untuk ditahan reman.

Reman dibenarkan selama seminggu hingga 3 April bagi membantu siasatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457/397A Kanun Keseksaan.