Kita sedang menuju ke arah negara maju menjelang 2020, namun begitu isu cuti bersalin yang boleh memberi impak yang besar kepada kesejahteraan keluarga dan negara bagai dipandang sebelah mata.

Di Malaysia, tempoh cuti bersalin adalah 60 hingga 90 hari.

Biasanya, 60 hari bagi syarikat swasta dan 90 hari untuk syarikat milik kerajaan.

Bagi mereka yang mahukan lebih dari hari yang diperuntukkan, dicadangkan agar mengambil cuti tanpa gaji.

Namun, bukan semua ibu memilih untuk mengambil cuti tanpa gaji memandangkan keadaan ekonomi yang memerlukan si ibu untuk terus bekerja membantu keluarga.

Mengambil contoh negara maju yang lain, secara purata kebanyakkannya memperuntukkan cuti bersalin sekurang-kurangnya 120 hari.

United Kingdom misalnya memperuntukkan cuti bersalin sebanyak 39 minggu malah cuti itu boleh dipanjangkan sehingga ke 52 minggu.

Ada juga negara yang memberikan cuti bersalin dari sebelum waktu kelahiran misalnya Albania yang memberikan cuti sebanyak 12 bulan dan 150 hari selepas bersalin.

Begitu juga dengan Republik Czech yang memperuntukkan cuti sebelum kelahiran sebanyak enam hingga lapan minggu dan cuti sebanyak 20 minggu selepas bersalin.

Negara jiran seperti Singapura memberikan cuti bersalin sebanyak empat bulan manakala Vietnam empat sehingga enam bulan.

Di negara lain juga, beberapa inisiatif kepada majikan digunakan dalam memberi cuti bersalin bergaji.

Antaranya adalah memberi cuti bersalin yang panjang kepada si ibu dengan gaji tidak dibayar penuh tetapi mengikut peratus tertentu.

Sebagai contoh di Kanada, si ibu akan diberi cuti bersalin sebanyak 50 minggu dengan gaji dibayar hanya 55% dari gaji penuh.

sila lihat info grafik perbandingan cuti bersalin di luar negara.

Mengikut poll yang dijalankan oleh Astro AWANI sebelum ini, sebanyak 66% peratus pembaca merasakan cuti bersalin di Malaysia perlu lebih 90 hari.

Beberapa ibubapa yang sempat kami hubungi turut memberikan pendapat mengenainya.

“Ramai berpendapat cuti bersalin adalah waktu ‘honeymoon’ hanya kerana waktu cuti itu dilihat panjang iaitu selama 60 hari, padahal tidak” kata ibu beranak satu, Syarmeira Salleh, 29.

Syarmeira yang baru sahaja melahirkan anak empat bulan lepas turut bersetuju agar cuti bersalin dipanjangkan.

“Saya hantar anak ke taska sejak umurnya dua bulan, ketika itu kepala anak masih lagi lembut. Itu adalah risiko yang perlu saya ambil demi tanggungjawab di tempat kerja, kalau cuti bersalin dipanjangkan sekurang-kurangnya empat bulan mungkin anak lebih stabil untuk diserahkan kepada taska” kata Syarmeira yang menghantar anak lelakinya ke taska berhampiran rumahnya di Seri Kembangan dengan bayaran RM650 sebulan.



Manakala Nurabitah Abu Jamil, 30 berkata si ibu wajar diberikan masa untuk membiasakan diri dengan kehadiran anak.

“Emosi ibu boleh terganggu dengan kehadiran anak, lebih-lebih lagi dengan kehadiran anak pertama yang dilihat sebagai sesuatu perkara baru dalam hidup.

“Bila anak lahir, saya kurang rehat kerana anak akan selalu menyusu dan pada masa yang sama perlu berpantang untuk kesihatan, ya ada masanya akan rasa tertekan” terang Nurabitah yang mempunyai seorang anak lelaki berumur empat tahun.


Bagi Siddiq Pahlawan Mohd Wazir, 33, bapa kepada dua orang anak, merasakan masa dapat diuruskan dengan baik dan ekonomi keluarga akan menjadi lebih baik jika cuti bersalin diberikan lebih panjang kepada si ibu.

“Masa anak pertama memang kelam kabut lagi kerana dalam tempoh dua bulan cuti bersalin, kami suami isteri tidak sempat untuk mencari taska kerana isteri masih di dalam pantang.

“Kalau dipanjangkan, mungkin sedikit sebanyak dapat membantu ekonomi keluarga, apabila mula bekerja semua perbelanjaan seperti minyak, makan kena dikeluarkan dan ditambah pula dah nak mula membayar taska” kata Siddiq.

Siddiq turut berpendapat kerana tidak cukup rehat, kadangkala boleh mendatangkan kemurungan kepada si ibu.


Namun ada juga yang berpendapat cuti 90 hari sudah lebih dari cukup.

Menurut Azman Syah, 33, dia dan isteri tidak mempunyai masalah dengan tempoh bersalin yang ada sekarang.

“Saya tinggal dengan keluarga mertua dan juga mempunyai pembantu rumah, rasanya cuti yang ditetapkan itu sudah lebih dari cukup.

“Buat masa sekarang, saya tidak ada pengalaman menghantar anak ke taska, jika anak saya dihantar ke taska mungkin bezanya hanya risiko namun tidak dari segi ekonomi” katanya kepada pemberita.


Ada juga yang memberikan pendapat di Facebook Astro AWANI bahawa cuti bersalin tidak perlu dipanjangkan kerana risau akan lambakan kerja yang menanti selepas pulang dari cuti.

Lina Muhd “Masa cuti berbulan tu, orang lain yang akan buat kerja, kita tak dapat elaun pun. Cukup la dua bulan. Kalau mahu berhenti kerja”

Caffien Penisillin “Kalau kat ofis ramai pekerja mengandung , penat la kaum laki”

Anita Alfian Yusof “Kalau untuk kerjaya guru cukuplah, sebab selalu ada masalah bila guru bersalin tiada guru yang ganti”

Mohd Rusli Hussain “Cuti tanpa gaji setahun, boleh jawatan itu disandarkan kepada ramai yang masih menganggur”