Cadangan mengadakan cuti sekolah secara berperingkat merupakan satu pelaksanaan yang baik, namun cadangan tersebut perlu diteliti terlebih dahulu sebelum dikuatkuasakan.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP), Kamarozaman Abd Razak bagaimanapun meminta semua kementerian yang terlibat perjelaskan tentang pelaksanaannya.

“Terdapat beberapa peringkat perlu dilakukan kajian dahulu kerana kita bimbangkan ada pelancong yang tidak akan datang.

“Ini kerana pelancongan tergolong dalam kategori minat ataupun keseronokan keluarga. Jadi kami mengharapkan Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan dan Kementerian Pendidikan boleh berbincang,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Rabu.

Jelasnya, kaedah itu sudah dilaksanakan negara maju seperti Amerika Syarikat serta Australia dan ia mungkin akan berhasil di negara kita.

“Ini kerana di negara maju pelan pelancongan mereka terancang jadi kita perlu fikirkan bagaimana cara untuk kita tarik pelancong kerana negara kita yang banyak sumber alam sekitar.

“Apakah caranya yang boleh kementerian adaptasi dari negara maju yang boleh mengurangkan kesesakan di tempat pelancongan terutamanya pada waktu cuti sekolah?” soalnya.

Pada Selasa, Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan ada mencadangkan supaya cuti sekolah dibuat secara berperingkat bagi memacu sektor pelancongan dan mengurangkan kesesakan di beberapa tempat tumpuan pelancong tempatan.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata cadangan ini akan menyebabkan kawasan tumpuan pelancong dalam negara akan menerima jumlah kunjungan pelancong lebih sekata sepanjang masa.