CyberSecurity Malaysia mengalu-alukan kerjasama pakar keselamatan siber tempatan dengan pelancaran CyberDEF Alliance.

Pengumuman dibuat semasa perjumpaan Open Web Application Security Project, OWASP Malaysia Chapter di ibu pejabat CyberSecurity Malaysia pagi tadi.

Pelancaran perjumpaan OWASP Malaysia Chapter dan CyberDEF Alliance dibuat ketua pengawai eksekutif CyberSecurity Malaysia, Dr Amirudin Abdul Wahab dalam ucapan pembukaannya.

Bulan lalu, Dr Amirudin hanya mengumumkan bahawa satu pasukan elit bagi pertahanan siber di negara ini bakal ditubuhkan.

Sebelum wujudnya 'alliance' ini, CyberDEF dilancarkan pada 22 Mei lalu.

Ia merupakan perkhidmatan menyeluruh dalam penyelesaian yang terdiri daripada pengesanan, pembasmian dan penyiasatan forensik bagi pencurian data atau serangan siber.

Menurut naib presiden, Cyber Security Responsive Services CyberSecurity Malaysia, Dr. Aswami Ariffin, dengan CyberDEF Alliance, Malaysia tidak perlu lagi bergantung dengan kepakaran asing dalam keselamatan siber negara.

"Kita nak panggil pakar-pakar dari luar (CyberSecurity Malaysia) yang bukan sahaja pakar dari segi teknikal tetapi juga taat kepada negara dan mempunyai karakter yang baik. Mereka akan berkumpul di Cyber Forensic X Lab untuk berbincang mengenai semua isu-isu siber terkini," kata Dr. Aswami.

Pengumpulan bukti forensik sesuatu penyiasatan dalam jenayah siber di negara ini tidak boleh dilakukan dengan secara menyeluruh jika sesebuah syarikat tempatan menggunakan kepakaran dan perisian dari luar negara.

Pada 22 Februari lalu, CyberSecurity melancarkan Cyber Forensic X Lab yang mempunyai kelengkapan terbaru untuk kajian keselamatan siber, pembangunan dan pengkomersilan (R, D & C) untuk forensik biometrik, peranti sistem terbenam, pengkomputeran awan dan big data.