Seorang wanita ditahan dalam cubaan menyeludup 6.13 kilogram dadah disyaki heroin dianggarkan bernilai RM953,529 yang disembunyikan dalam durian sejuk beku di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang, Selangor, pada Isnin lalu.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Zon Tengah Datuk Zulkurnain Mohamed Yusuf berkata ia hasil serbuan di sebuah syarikat kargo oleh sepasukan anggota Bahagian Siasatan Unit II (Selangor) Zon Tengah.

Menurutnya, pemeriksaan dilakukan ke atas 20 kotak styrofoam mengandungi durian sejuk beku yang diikrar untuk dieksport ke Hong Kong.

"Empat daripadanya didapati mengandungi ketulan mampat berwarna putih disyaki heroin yang dibalut dengan plastik lut sinar di dalam buah berkenaan," katanya pada sidang media di Kompleks Kastam Kuala Lumpur di Kelana Jaya, di sini hari ini.

Zulkurnain berkata berikutan penemuan itu, seorang wanita berusia 34 tahun yang menguruskan penghantaran barang berkenaan ditahan.

Wanita itu direman lima hari untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.