Malang bagi seorang wanita apabila tiada seorang pun jirannya yang menghulurkan pertolongan apabila dia berlumuran darah akibat cedera ditikam seorang lelaki.

Keadaan wanita yang ditikam di leher dalam kejadian kira-kira jam 1.45 pagi di Jalan Terasek, Bangsar, di sini, itu tular selepas rakannya memuat naik status dan sekeping gambar wanita berlumuran darah di Facebook.

Menurut rakan mangsa, mereka berdua berjalan pulang ke rumah sebelum bertembung dengan seorang lelaki bersenjatakan pisau.

“Lelaki berusia lingkungan 40-an sebelum itu dipercayai bersembunyi di belakang kereta. Dia acu pisau di leher rakan saya dan ugut akan potong jika buat bising. Disebabkan rakan saya jerit, lelaki itu terus tikam lehernya.

“Dengan keadaan berlumuran darah, kawan saya lari sambil jerit minta tolong beberapa kali. Lelaki terbabit kemudian tahan saya nak minta telefon bimbit serta wang tunai namun disebabkan saya tak ada apa-apa dia kemudian hilangkan diri dalam tempoh dua minit,” katanya.

Menurutnya, dia dan rakannya yang mengalami pendarahan serius terus meminta bantuan di unit rumah kawasan berhampiran.

“Kami rasa takut untuk terus pulang ke rumah sendiri. Yang sedihnya jiran kawasan itu keluar jenguk namun tutup pintu dan suruh kami ke rumah lain.

“Ada juga yang tanya kenapa buang masa dan suruh kami lari ke rumah sendiri. Lihatlah! betapa teruknya dia cedera. Bagaimana kami perlunya bantuan anda,” katanya.

Pemilik akaun Facebook itu berkata, rakannya yang menerima 14 jahitan sudah membuat laporan polis berhubung insiden dan berharap penjenayah dapat ditahan segera.

“Rakan saya beritahu dia kenal penghuni rumah yang diketuk ketika minta tolong. Lelaki itu keluar untuk lihat benarkah kawan saya berlumuran darah tapi tak buka pintu.

“Kepada mereka yang tak nak tolong kerana sangka itu mungkin penipuan sepatutnya sudah jelas sebenarnya apa yang berlaku,” katanya.

Status dan gambar yang mendapat ratusan perkongsian itu menerima pelbagai komen dan rata-rata netizen mengecam sikap kejiranan kerana enggan menghulurkan bantuan.