Seorang guru silat, yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan militan Daish, dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan enam sebatan di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan memiliki bom tangan dan dua butir peluru pada Mac lepas.

Hakim Nazri Ismail menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Sabri Mat Zain, 46, selepas dia mengaku bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu.

Nazri menjatuhkan hukuman lima tahun penjara dan enam sebatan bagi kesalahan pertama serta dua tahun penjara bagi kesalahan kedua itu.

Beliau memerintahkan supaya kedua-dua hukuman penjara itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 21 Mac lepas.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wong Siew Mun.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohammad Sabri didakwa memiliki sebutir 'Grenade Hand Coloured Smoke Yellow MK IV LOT 16 SME 3-03 CCC' di Kampung Batu 7, Teluk Kandis, Salor, Kota Bharu pada 7.55 pagi hingga 1.20 petang, 21 Mac 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum 14 tahun dan enam sebatan.

Bagi pertuduhan kedua, bapa lima anak itu dituduh memiliki amunisi iaitu dua butir peluru jenis .38 Special G.F.L dan R.P tanpa satu lesen senjata atau permit senjata di alamat serta masa dan tarikh yang sama.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 8 akta sama, yang memperuntuk hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu, Mohammad Sabri dihadapkan ke Mahkamah Majistret atas dakwaan memaparkan bahan yang berkaitan dengan kumpulan Daesh dalam akaun Facebook miliknya atas nama 'Pecula Naga'.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada 1 petang, 4 April 2017 dan didakwa mengikut Seksyen 130JB(1)(b) Kanun Keseksaan kerana terlibat dengan aktiviti militan yang memperuntuk hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan boleh dilucut hak mana-mana item yang berkaitan.

Bagaimanapun, tiada sebarang pengakuan direkodkan terhadap pertuduhan yang dibacakan hadapan Majistret Mohd Azrul Hasyimi Mohammad.

Sebutan semula kes ditetapkan pada 14 Mei depan. Tertuduh tidak diwakili peguam dalam ketiga-tiga kes tersebut. - BERNAMA