Ketua kumpulan Baju Merah, Datuk Seri Jamal Yunos, hari ini dipanggil ke balai polis Pandan Indah, untuk sekali lagi diambil keterangan berhubung insiden dia mendakwa ditumbuk di Ampang petang semalam.

Difahamkan keterangan tersebut turut mempunyai kaitan dengan dakwaan beliau yang dipercayai merancang untuk membalas dendam ke atas individu yang menumbuknya.

"Saya memberi respons yang tersebar luas dalam media sosial semalam, yang mengatakan polis pukul saya.

"Ketika itu berlakunya pergelutan bukan saya sebut 'polis pukul saya', saya memberitahu kepada polis bahawa saya dipukul sebab itu saya meminta kepada polis, saya hendak kejar siapa tumbuk curi daripada belakang sehingga saya berdarah.

"Itu maksud saya. Bukan polis pukul saya, bukan itu maksudnya. Maksudnya saya hendak memberitahu polis yang menghalang kami mengejar (Zuraida) dan kuncu-kuncunya lari lintang-pukang setelah memukul curi saya.

"Saya hendak beritahu polis saya dipukul, bukan polis pukul saya," kata Jamal ketika ditemui media di hadapan balai polis Pandan Indah, di sini tengah hari tadi.

Jamal, sebelum ini, menafikan kenyataannya bahawa beliau ditumbuk oleh polis sebaliknya menyatakan dirinya ditumbuk oleh pengikut kumpulan Bersih 5, dalam kejadian kekecohan di dalam pusat membeli-belah Ampang Point sekitar pukul 4 petang semalam.

Dia mendakwa, bahawa ramai yang marah selepas melihat insiden ditumbuk oleh pihak yang cuba mencetuskan kekecohan itu.

Jamal yakin bahawa individu yang menumbuk beliau adalah anggota Baju Kuning.

Sementara itu, Jamal turut mengesahkan pihaknya akan tetap meneruskan perhimpunan pada 19 November ini di ibu negara, sekiranya kumpulan Bersih 5 berdegil untuk terus berhimpun meskipun dinasihatkan polis untuk menghentikannya.