Tutup
announcement
NOTIS
Beralih ke pengalaman baharu laman web Astro AWANI. Klik di sini!

Dakwaan 100,000 pekerja terjejas akibat COVID-19 bersifat andaian - Mahfuz

Dakwaan 100,000 pekerja terjejas akibat COVID-19 bersifat andaian - Mahfuz
Bagi menangani kesan akibat penularan kluster penyakit itu terhadap pekerjaan dalam sektor tertentu seperti pelancongan, beliau berkata kementerian sedang mengumpul maklumat mengenainya. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar berkata dakwaan bahawa hampir 100,000 rakyat Malaysia akan kehilangan pekerjaan jika jangkitan COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini, hanya bersifat andaian.

Bagi menangani kesan akibat penularan kluster penyakit itu terhadap pekerjaan dalam sektor tertentu seperti pelancongan, beliau berkata kementerian sedang mengumpul maklumat mengenainya.
"Ia masih bersifat andaian. Hanya selepas pihak kesatuan sekerja dapat memberikan maklumat penuh melalui Jabatan Tenaga Kerja (JTK) dan melalui Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) Perkeso, kita akan dapat mengetahui berapa jumlah sebenar mereka yang terlibat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Bertemu Pelanggan Kumpulan Wang Pembangunan Sumber Manusia (KWPSM) di sini hari ini.
[LAPOR LANGSUNG] COVID-19 Angka kematian terus meningkat

Semalam, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan dilaporkan berkata hampir 100,000 rakyat Malaysia bakal kehilangan pekerjaan jika COVID-19 berterusan sehingga penghujung tahun ini.

Mengenai pekerja dalam sektor pelancongan yang terjejas berikutan COVID-19, Mahfuz berkata kementerian akan membantu mereka mencari peluang pekerjaan lain di luar bidang pelancongan.

"Semalam, kami didatangi oleh pemandu-pemandu bas pelancongan yang mengendalikan pelancong dari China yang mengadu mereka kini tiada pekerjaan dan pendapatan.

"Walaupun mereka tidak diberhentikan oleh majikan, tetapi kerana ketiadaan pelancong mereka tidak menerima bayaran daripada majikan," katanya.

Beliau berkata kementerian akan meneliti status pekerja terlibat selepas JTK mengadakan perbincangan dengan majikan untuk melihat perjanjian semasa mereka diambil kerja.

Selain itu, pada majlis sama, Mahfuz turut memaklumkan KWPSM bakal memperkenalkan Hab Pembelajaran dan Latihan KWPSM, sebuah pasaran dalam talian bagi syarikat membuat pilihan mengenai program latihan pekerja bersesuaian keperluan syarikat mereka.

-- BERNAMA


Tag: Mahfuz Omar, pelancong, Malaysia, pelancongan, China, rakyat Malaysia, pekerja Malaysia, Timbalan Menteri Sumber Manusia, COVID-19, koronavirus, coronavirus



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.