Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung satu laporan yang dibuat oleh seorang anggota polis yang didakwa tidak dibenarkan membuang undi awal oleh seorang petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semalam.

Menurut Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN) Bukit Aman, Datuk Asmawati Ahmad berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4 (D) Akta Kesalahan Pilihanraya.

“Laporan polis telah dibuat dan siasatan sedang dijalankan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI pada Ahad.

Sejak semalam, satu laporan polis tular di media sosial apabila seorang anggota polis dilarang membuang undi awal oleh seorang petugas SPR.

Berdasarkan laporan polis itu, pengadu mendakwa dia tidak dibenarkan mengundi awal kerana dimaklumkan oleh petugas SPR bahawa namanya didapati sudah mengundi.

Menurut pengadu, dia cuba menjelaskan kepada petugas SPR bahawa dia belum menunaikan tanggungjawab itu termasuk menunjukkan jarinya yang tiada kesan dakwat.

Namun, penjelasan anggota polis itu tidak diterima.

Pengadu kemudian diminta menunggu di luar pusat mengundi untuk perbincangan dengan pegawai SPR tetapi tidak ada pihak yang tampil sehingga proses undian awal selesai.