Dakwaan dera: Pusat jagaan warga emas di Seremban akan ditutup - Exco

Dakwaan dera: Pusat jagaan warga emas di Seremban akan ditutup - Exco
Nicole berkata tindakan itu akan diambil mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Pusat Jagaan 1983 (Akta 506). -Foto facebook.com/nicoleleekoontan
SEREMBAN: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Sembilan akan menutup pusat jagaan warga emas yang didakwa melakukan penderaan kepada penghuninya seperti ditularkan di media sosial, Isnin lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan Negeri Sembilan Nicole Tan Lee Koon berkata tindakan itu akan diambil mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Pusat Jagaan 1983 (Akta 506).

"Siasatan terhadap pusat jagaan warga emas itu telah dilakukan JKM pada 17 Jun lepas.

"Hasil siasatan terhadap pusat jagaan, pihak JKM negeri akan mengambil tindakan penguatkuasaan penutupan pusat jagaan sehingga suatu tempoh sebagaimana yang difikirkan perlu atau notis selanjutnya di bawah Akta 506," katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

BACA: Warga emas dipaksa minum air kencing di pusat jagaan

Katanya JKM turut menafikan siasatan dilakukan jabatan itu tidak telus seperti yang didakwa seorang waris pada Khamis.

"Untuk rekod, JKM telah ambil tindakan dan siasatan pada 18 Nov 2018 mengikut peraturan Pusat Jagaan 1993. Malah maklum balas setiap persoalan atau dakwaan secara bertulis telah diberikan kepada pengadu," katanya.

Hari ini, seorang waris kepada penghuni pusat jagaan berkenaan yang ingin dikenali sebagai Noni, 34, mahu JKM menyiasat perkara berkenaan dengan telus selepas mendakwa kecewa dengan jabatan itu yang telah menafikan aduan mengenai neneknya berusia 90 tahun yang didakwa diabaikan pusat jagaan itu.

Pada 17 Jun lepas, tular di laman sosial Facebook dakwaan warga emas di sebuah pusat jagaan warga emas di Seremban 3, di sini, didera seorang penyelia sejak tiga tahun lepas.

-- BERNAMA