Kerajaan Malaysia mencabar agensi media antarabangsa, Al Jazeera untuk mengemukakan bukti negara mana yang memberi kebebasan mutlak kepada warga asing yang tiada dokumen untuk berada dalam negara itu.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan kerajaan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) diambil berdasarkan undang-undang yang ditetapkan.

"Saya cabar Al Jazeera untuk memberikan nama negara yang beri kebebasan mutlak kepada warga asing yang tidak mempunyai dokumen termasuk tinggal secara bebas dalam negara mereka.

"Setahu saya, tiada negara yang akan berbuat demikian termasuk di negara Al Jazeera ada sekarang ini," tegasnya dalam sidang media di sini pada Isnin.

Laporan dokumentari Al Jazeera bertajuk 'Locked Up in Malaysia's Lockdown' berdurasi 25 minit 50 saat mendakwa terdapat diskrimanisi perkauman ketika negara ini mengendalikan pandemik COVID-19.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, tindakan media antarabangsa itu jelas tidak beretika dan berniat jahat untuk memburukkan nama Malaysia.

"Tuduhan yang dibuat itu amat tidak wajar dan berniat tidak baik kerana menuduh secara membuta tuli. Saya percaya agensi media itu mempunyai niat kurang baik kerana melaporkan perkara yang tidak betul.

"Apa yang dilakukan kerajaan bagi menangani penularan wabak COVID-19 adalah berdasarkan undang-undang dan dilakukan secara menyeluruh termasuk rakyat di negara ini," katanya.

Beliau menambah, laporan agensi media itu yang mendakwa kanak-kanak warga asing digari sebelum dibawa ke pusat tahanan juga merupakan suatu pembohongan.

"Saya ingin jelaskan, kanak-kanak yang ditahan tidak pernah digari, malah mereka ditempatkan di kawasan khas dan diasingkan daripada ibu bapa mereka.

"Ini fakta sebenar, tapi saya percaya Al Jazeera tidak tahu fakta sebenar tapi atas niat tidak baik terhadap Malaysia, maka perkara tidak betul dilaporkan termasuk menuduh kita rasis," katanya.


Sementara itu, Ismail Sabri menggesa agar agensi media itu membuat permohonan maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia atas kesilapan yang dilakukan.

Beliau dalam masa sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan kaum yang telah menyatakan sokongan terhadap tindakan yang dilakukan kerajaan.

"Saya kira mereka menentang segala laporan Al Jazeera dan semalam saya lihat beratus ribu telah 'dislike' sehingga agensi berita itu menutup ruangan komen yang 100 peratus tidak bersetuju dengan laporan itu," tambahnya.