MALAYSIA
Dakwaan diskriminasi: Al Jazeera dituntut mohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia

Ismail Sabri berkata, laporan dokumentari itu bukan sahaja berniat jahat, malah mengelirukan, membuta-tuli dan tidak mempunyai fakta yang jelas. - Foto BERNAMA
Kerajaan Malaysia menuntut agensi berita antarabangsa, Al Jazeera memohon maaf secara terbuka kepada rakyat Malaysia susulan menyiarkan fakta tidak benar mengenai layanan terhadap pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika usaha mengekang penularan COVID-19.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, laporan dokumentari itu bukan sahaja berniat jahat, malah mengelirukan, membuta-tuli dan tidak mempunyai fakta yang jelas.
Tegas beliau, laporan itu juga jelas tidak beretika dan tidak wajar disiarkan.
"Sebagai sebuah media antarabangsa, kita minta Al Jazeera menghentikan tindakan (menyiarkan dokumentari) dan mohon maaf kepada rakyat Malaysia," katanya pada sidang media perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini pada Isnin.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, agensi berita itu turut melakukan pembohongan apabila mendakwa kanak-kanak PATI diperlakukan dengan kejam termasuk digari ketika dibawa ke Depot Tahanan Imigresen (DTI).
Jelas Ismail Sabri, realiti yang berlaku ialah kanak-kanak itu tidak digari malah diasingkan daripada tahanan lain dan ditempatkan bersama ibu bapa mereka.
"Ini fakta sebenar. Al Jazeera tak ingin tahu fakta sebenar ini bahkan atas niat tidak baik menuduh kita rasis, ini juga tidak benar," katanya.
Sementara itu, Ismail Sabri menegaskan, tindakan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menahan PATI adalah berlandaskan Akta Imigresen.
"Undang-undang itu membolehkan individu yang tidak mempunyai dokumen sah ditangkap dan ini selaras dengan undang-undang di negara lain," ujarnya.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami