Dakwaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) akan menghapuskan hak-hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera di Sabah dan Sarawak yang termaktub dalam Perlembagaan adalah satu pembohongan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy berkata tanggapan tersebut adalah tidak betul dan hanya bertujuan mengelirukan dan menimbulkan kebimbangan rakyat.

"Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa pengesahan ICERD dengan pengecualian, tidak akan memberi sebarang kesan kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan dalam apa jua cara," katanya dalam klenyataan di sini hari ini.

Bekas ketua hakim negara Tun Abdul Hamid Mohamad dilapor mengeluarkan dakwaan demikian dalam satu temu bual dengan sebuah akhbar harian berbahasa Melayu semalam.

Waytha Moorthy turut berkata kerajaan akan melibatkan semua pihak berkepentingan bagi mendapatkan pandangan dan maklum balas menyeluruh sebelum undang-undang antarabangsa ini disahkan.

"Kerajaan tidak tergesa-gesa mengesahkan ICERD kerana ingin mengumpul sebanyak mungkin maklum balas daripada kesemua pihak berkepentingan.

"Jika kita lihat, banyak negara Islam lain seperti Yemen, Indonesia dan Pakistan dan Kuwait telah mengesahkan ICERD, dan Malaysia pula ambil langkah mengesahkan ICERD dengan pengecualian," katanya.

Pada 24 Okt lepas, Bernama turut melaporkan kenyataan Waytha Moorthy bahawa Malaysia komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk ICERD pada suku pertama tahun depan.

Beliau menyatakan bahawa meratifikasi konvensyen-konvensyen ini termasuk ICERD adalah selaras dengan manifesto Pakatan Harapan (PH).

-- BERNAMA