Pengerusi PPBM, Tun Dr Mahathir Mohamad akan dipanggil berhubung isu dakwaan perbincangan bersama Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata pihaknya juga sudah menerima laporan daripada kedua-dua pihak selain siasatan akan dibuat di bawah Kanun Keseksaan Seksyen 500.

Jelasnya, laporan perbincangan bekas perdana menteri Dr Mahathir bersama timbalan perdana menteri itu juga akan diserahkan kepada pendakwaraya untuk prosedur seterusnya.



"Semua laporan yang diterima akan diambil tindakan oleh pihak polis. Kami telah meneliti laporan polis kedua-dua belah pihak dan dua kertas siasatan juga sudah dibuka.

"Jangan bimbang, kami akan meneliti semua laporan dengan terperinci dan akan menyerahkannya kepada pihak pendakwaraya untuk membuat keputusan," katanya pada sidang media selepas merasmikan Sambutan Hari Hijau PDRM 2017, di sini, hari ini.

Pada Jumaat, Ahmad Zahid menafikan beliau terlibat dengan sebarang konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri.

Jelasnya, beliau mempunyai cukup bukti dalam bentuk rakaman bahawa Tun Dr Mahathir yang mencadangkan agar Datuk Seri Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mendakwa Datuk Seri Ahmad Zahid telah bertemu dengannya untuk meminta sokongan bagi menggantikan Datuk Seri Najib selaku perdana menteri.

Kenyataan Dr Mahathir itu dibuat selepas Datuk Seri Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan berhubung keturunan bekas perdana menteri itu yang didakwa berdarah campuran India pada mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya baru-baru ini.