Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan beliau sedia melafazkan 'sumpah laknat' bagi membuktikan beliau tidak merancang untuk menjatuhkan perdana menteri seperti didakwa Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ahmad Zahid berkata beliau sedia berbuat demikian di mana-mana masjid di seluruh negara dan dalam masa sama, turut mencabar bekas perdana menteri itu bersumpah di masjid mengakui dakwaannya benar.

"Saya sanggup bersumpah di masjid mana pun di Malaysia ini. Kalau sumpah laknat sanggup saya buat, beliau mesti juga sanggup buat.

"Bahawa yang merancang untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Razak bukan saya, tetapi beliau. Orang itu bukan saya, tetapi dia, patah balik kata saya," katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya pada perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Baling 2017 di Dewan Kompleks Rakan Muda, Batu 42, Pulai, di sini pada Sabtu.

Dalam ucapannya beliau sekali lagi mengulangi pengakuan yang dibuatnya pada Jumaat di Jerlun, bahawa beliau memiliki rakaman ketika pertemuannya dengan Dr Mahathir pada tahun 2015.

Rakaman itu, katanya, telah dianalisa kesahihannya, malah tambahnya, transkrip percakapan mereka turut disediakan selepas pertemuan itu.



Pada Jumaat, Ahmad Zahid menafikan beliau terlibat dengan sebarang konspirasi untuk menjatuhkan perdana menteri.

Jelasnya, beliau mempunyai cukup bukti dalam bentuk rakaman bahawa Dr Mahathir yang mencadangkan agar Najib dijatuhkan sebagai perdana menteri melalui undi tidak percaya di Parlimen.

Baru-baru ini, Dr Mahathir mendakwa Ahmad Zahid telah bertemu dengannya untuk meminta sokongan bagi menggantikan Najib selaku perdana menteri.

Kenyataan Dr Mahathir itu dibuat selepas Ahmad Zahid mengeluarkan kenyataan berhubung keturunan bekas perdana menteri itu yang didakwa berdarah campuran India pada mesyuarat UMNO Bahagian Kelana Jaya baru-baru ini.