Dakwaan mencabul: Anwar nafi, sifatkan niat jatuhkan imejnya

Dakwaan mencabul: Anwar nafi, sifatkan niat jatuhkan imejnya
Anwar melalui Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad akan membuat laporan polis hari ini selain peguamnya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff. - Foto Astro AWANI / SHAHIR OMAR
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menafikan dakwaan kononnya beliau telah mencabul Muhammed Yusoff Rawther.

Anwar dalam satu kenyataan kepada media berkata, pada tarikh yang didakwa berlakunya kejadian tersebut, beliau sedang giat berkempen bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya fitnah tanpa asas tersebut.

“Pada tarikh yang didakwa, saya sedang giat menjalankan kempen sempena PRK Port Dickson serta menghadiri Majlis Memperingati Ulang Tahun Kelahiran Mahatma Gandhi ke-150 di Kuala Lumpur dan kembali semula ke Port Dickson untuk memenuhi jadual kempen,” katanya.

Tegas Anwar, tindakan yang dilakukan bekas penyelidiknya itu adalah muslihat untuk menjatuhkan imejnya menjelang Kongres Nasional Keadilan ke-14 dan proses peralihan kuasa pimpinan negara.

“Keluarga Muhammed Yusoff melalui Mohideen Abdul Kader turut mengeluarkan kenyataan mengutuk tindakan yang dilakukan olehnya selepas lebih setahun kejadian yang didakwa,” kata Anwar.

Malah, beliau melalui Setiausaha Sulitnya, Shukri Saad akan membuat laporan polis hari ini selain peguamnya, Ramkarpal Singh juga akan mengutuskan surat tuntutan daripada Muhammed Yusoff.

Muhammed Yusoff dalam akuan bersumpahnya bertarikh 19 November lalu mendakwa dirinya menjadi mangsa cabul, perbuatan tidak senonoh dan cadangan lucah semasa kejadian yang didakwa dilakukan oleh Anwar pada 2 Oktober 2018 di pejabatnya di Petaling Jaya.


Tag: Anwar Ibrahim, Parti Keadilan Rakyat, dakwaan cabul, Muhammed Yusoff Rawther



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.