Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan kukan siasatan berhubung dakwaan potongan hasil padi melebihi 50% oleh Padiberas Nasional Berhad (Bernas) ke atas pesawah di Kelantan.

Bagaimanapun Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman yakin ia tidak dilakukan sewenang wenangnya kerana potongan dibuat berdasarkan kualiti padi yang dijual.

Tambahnya kementerian juga sentiasa memastikan agar pembeli atau Bernas tidak ambil kesempatan ke atas petani.

“Kami tidak akan berkompromi dengan perkara ini tetapi saya tidak rasa keseluruhan petani ini dikenakan pemotongan 50%.

“Kami akan siasat perkara ini untuk mengetahui apa puncanya, adakah daripada pengilang atau Bernas atau daripada pesawah itu sendiri,” beliau berkata selepas merasmikan Program Jalinan Peladang peringkat Negeri Melaka 2017 di Merlimau, Melaka.

Beliau turut menasihatkan pesawah untuk menghasilkan padi yang lebih berkualiti untuk menikmati pulangan yang lebih besar.

Selain itu kementeriannya akan sentiasa memastikan agar pembeli atau Bernas tidak ambil kesempatan ke atas petani.

Baru-baru ini, Pertubuhan Peladang Kawasan Negeri Kelantan menyuarakan ketidakpuasan hati mereka selepas Bernas memotong sehingga 50% hasil jualan padi.