Tiada longgokan plastik sampah import dari luar negara di kawasan pedalaman hutan Perak sebagaimana yang didakwa oleh sebuah agensi media antarabangsa, baru-baru ini.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar Perak (JAS), Norazizi Adinan sebaliknya berkata kawasan itu merupakan tapak bahan buangan sisa plastik yang ditempatkan sementara sebelum diproses menjadi bahan bakar alternatif.

"Semua sisa plastik bahan buangan industri yang ada di sini adalah dari negara ini sendiri.

"Kita menerima setiap bulan senarai 40 jenis industri yang menghantar bahan buangan bukan toksik ke sini untuk dikitar semula dan dijadikan bahan bakar alternatif kepada kilang simen di Perak," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja ke Kawasan Perindustrian IGB, Tasek yang dikatakan menjadi tempat pengumpulan sampah import, di sini pada Selasa.

Ujarnya lagi, dakwaan bahawa kawasan tapak itu yang terletak di pedalaman hutan adalah tidak benar sama sekali.

"Kita memang menerima senarai daripada pihak syarikat, kesemua industri bersama dengan jisim dan berat bahan yang sampai ke sini, kita pantau," katanya.

Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Teknologi, Sains dan Alam Sekitar negeri, Dr. Abdul Aziz Bari berkata tapak bahan buangan itu adalah sah dan mematuhi undang-undang.

"Saya difahamkan bahawa ada media antarabangsa datang ambil gambar dan tidak mendapatkan penjelasan daripada syarikat ini, mungkin dipercayai untuk memberi tekanan kepada kerajaan mereka untuk membuat sesuatu tentang masalah pengeksportan plastik.

"Ini adalah kawasan simpanan sementara yang akan berakhir atau dipindahkan pada hujung tahun," katanya.

Baru-baru ini, sebuah agensi media antarabangsa melaporkan terdapat timbunan plastik sampah setinggi 20 kaki di pedalaman hutan negeri ini berasal dari bahan buangan sampah dari pasaraya di United Kingdom.