'Dakwaan vaksin cegah influenza kehabisan stok di Melaka tidak betul'

'Dakwaan vaksin cegah influenza kehabisan stok di Melaka tidak betul'
Sejak semalam, media sosial ditularkan dengan kebimbangan orang ramai yang mendakwa sukar mendapatkan vaksin Influenza A susulan kehabisan stok vaksin. - Gambar hiasan
MELAKA: Kerajaan Negeri Melaka menafikan dakwaan stok vaksin bagi pencegahan virus influenza di klinik dan hospital swasta di negeri itu kehabisan seperti ditularkan baru-baru ini sehingga menyebabkan ibu bapa terpaksa membawa anak-anak mereka ke negeri-negeri jiran.

Ini kerana, tegas Exco Kesihatan dan Anti Dadah Negeri, Low Chee Leong insiden kehabisan stok di beberapa klinik swasta seperti ditularkan hanyalah kes terpencil.

Beliau berkata, pihaknya juga telah mengarahkan Jabatan Kesihatan Negeri untuk membuat pemantauan secara berkala bagi memastikan stok vaksin di negeri ini mencukupi, mahupun di hospital-hospital kerajaan.

“Apa yang saya dimaklumkan, vaksin di Melaka memang mencukupi, dan awal pagi ini saya telah membuat lawatan ke Hospital Putra difahamkan memang mencukupi, saya akan minta JKN buat kerja kerja pemantauan untuk memastikan semua vaksin untuk influenza mencukupi,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Sejak semalam, media sosial ditularkan dengan kebimbangan orang ramai yang mendakwa sukar mendapatkan vaksin Influenza A susulan kehabisan stok vaksin di hospital dan klinik swasta di negeri ini.

Influenza boleh dijangkiti melalui titisan air yang tersebar melalui mulut dan hidung. Orang ramai yang berada di sekitarnya mudah mendapat virus yang disebarkan apabila seseorang batuk atau bersin.

Virus itu juga mudah merebak melalui tangan tercemar apabila individu yang sudah dijangkiti bersentuhan dengan orang lain.

Simptom influenza dikesan apabila seseorang demam tinggi (38 Celsius), lesu melampau, batuk, sakit tekak dan otot, selain sakit perut, sakit dada dan cirit-birit.

Kumpulan berisiko adalah kanak-kanak mengalami asma, warga emas berpenyakit kronik dan ibu hamil.

Vaksin influenza boleh didapati di semua klinik dan hospital swasta bagi  mengelak jangkitan.


Tag: kesihatan, Hospital, Exco, Dadah, Exco Kesihatan dan Anti Dadah Neger, Low Chee Leong, Influenza A, batuk, bersin



Komen Anda?

* Klik pada "Sort by" untuk kemaskini komen

PENAFIAN:
Astro AWANI tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri. Terima kasih.