BEKAS Pengerusi Kumpulan CIMB, Datuk Seri Nazir Razak akan memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dana 1MDB berjumlah RM25.7 yang dipindahkan ke akaun bank atas namanya pada 2013.

Menyedari bahawa dana berkenaan untuk kegunaan kempen Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) menyebabkan adik kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak ada sebab untuk berfikir sebaliknya.

Bahkan, dalam masa sama Nazir berkata, beliau dimaklumkan bahawa wang itu adalah dari dana politik yang sah.

Bertitik tolak atas niat memenuhi permintaan abangnya, beliau bersetuju dana RM25.7 juta dipindahkan ke akaun atas namanya.

"Seperti yang saya sahkan sebelum ini, Datuk Seri Najib memindahkan RM25.7 juta ke akaun atas nama saya pada 2013.

"Dana itu telah dikeluarkan secara tunai kepada wakil Najib dan saya turut difahamkan ia adalah untuk kegunaan kempen pilihan raya dan tidak ada satu sen yang dipegang atau digunakan oleh saya.

"Saya bertindak dengan niat baik untuk memenuhi permintaan abang saya membantunya dalam kempen PRU13 dan pada masa itu, saya dimaklumkan bahawa dana itu berasal dari dana politik yang sah dan tidak mempunyai sebab untuk berfikiran sebaliknya," ujar beliau dalam kenyataan yang disiarkan portal berita The Edge pada Selasa.


Menurut Nazir, merujuk pada pertalian antara 1MDB dengan dana yang dipindahkan Najib itu menyebabkan beliau secara sukarela mengambil cuti daripada kedudukannya di CIMB bagi memberi ruang pada Lembaga Pengarah Kumpulan CIMB dan CIMB Bank untuk menjalankan siasatan sepenuhnya.

"Mereka (Lembaga Pengarah CIMB dan CIMB Bank) melakukan siasatan dengan bantuan firma akauntan dan perundangan. Berdasarkan hasil siasatan, saya dibersihkan daripada sebarang salah laku," ujar Nazir lagi.

Sekalipun, nama beliau sudah dibersihkan daripada terlibat dalam salah laku, Nazir bagaimanapun berjanji untuk memberi kerjasama dan menghormati pihak berkuasa melakukan siasatan.

Pada Isnin, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya mengumumkan seramai 80 individu dan entiti sudah menerima notis kompaun daripada SPRM berkaitan kes 1MDB.

Jumlah notis kompaun berkaitan kes 1MDB kali ini bernilai RM420 juta.

Daripada 80 individu itu, nama Nazir antara yang tersenarai.

BACA: 80 individu, entiti terima notis kompaun RM420 juta