Tutup

Dana QDF untuk Rohingya akan diselaras MKN, JPM

Dana QDF untuk Rohingya akan diselaras MKN, JPM
TPM Ahmad Zahid mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi Mengenai Pengurusan Etnik Rohingya di Putrajaya hari ini. - Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Sumbangan kewangan dari Qatar Development Fund (QDF) untuk etnik Rohingya di Malaysia akan diselaras oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Perdana Menteri (JPM) dengan beberapa kementerian, agensi kerajaan serta badan bukan kerajaan (NGO).

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Peringkat Tinggi (HLC) Mengenai Pengurusan Etnik Rohingya Yang Memegang Kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR), yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, dana QDF akan digunakan untuk kebajikan 56,135 etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR di Malaysia pada masa ini.

"Dana ini adalah bagi melaksanakan tiga aspek utama untuk etnik Rohingya yang memegang kad UNHCR di Malaysia iaitu latihan, pendidikan dan kesihatan yang pastinya dapat memberi kesan positif dalam jangka panjang," kata dalam satu kenyataan.
Sumbangan kewangan QDF untuk membantu etnik Rohingya di Malaysia itu sebelum ini diumumkan kerajaan Qatar semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri ke negara itu awal bulan ini.

Dalam pada itu katanya, selain kementeriannya, Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan juga akan bertanggungjawab menjayakan Projek Perintis Kebenaran Bekerja kepada 300 etnik Rohingya pemegang kad UNHCR di Malaysia yang akan bermula 1 Mac ini.

"Perincian bagi program-program latihan separa mahir dan mahir, pendidikan untuk anak-anak Rohingya serta skim insurans kesihatan akan dilaksanakan Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Kesihatan dengan kerjasama beberapa NGO berkaitan," ujar Ahmad Zahid.