Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) Datuk Dr Rameli Musa hari ini hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pemimpin PAS menerima dana RM90 juta daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB) yang diberi UMNO.

Rameli yang turut dikaitkan dengan isu RM1.4 juta dalam penyelesaian luar mahkamah kes saman Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown tiba pada 9.55 pagi dengan menaiki kereta Toyota Vellfire berwarna hitam.

Turut hadir memberi keterangan ialah bekas Exco Kerajaan Negeri Selangor Zaidy Abdul Talib dan seorang petugas di ibu pejabat PAS Mohd Khoirul Anwar Mat Zuki yang dilihat memasuki bangunan suruhanjaya itu lima minit kemudian.

Semalam, media melaporkan tiga individu lagi termasuk seorang pegawai di sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) akan dipanggil bagi membantu siasatan berhubung kemasukan dana RM90 juta tersebut.

Siasatan kes tersebut menyaksikan beberapa individu telah dipanggil SPRM, antaranya Musyidul Am PAS Datuk Hashim Jasin; Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan dan Anggota Jawatankuasa PAS Pusat Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

-- BERNAMA