Persoalan sama ada dana yang dikatakan wang derma dari pihak Arab Saudi benar atau sebaliknya adalah sama sekali tidak relevan, menurut pihak pembelaan.

Peguam bela, Harvinder Singh menyampaikan hujah itu ketika prosiding kes rasuah SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak

"Pihak pendakwaan cuba berhujah sama ada wang derma itu sahih atau tidak adalah tidak relevan," katanya kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Harvinder yang berhujah ketika sesi pembelaan berkata, kesahihan surat-surat yang dikatakan diterima daripada keluarga diraja Arab Saudi tidak perlu dibuktikan berkaitan dengan derma tersebut.

"Tidak perlu untuk saya buktikan kesahihan surat itu disebabkan ia wujud dan diberikan kepada bank, kewujudan surat itu tidak perlu dipertikaikan.

"Kes saya terletak pada kewujudan surat itu dan bukannya pada kesahihan," katanya lagi.

Sebelum ini, Najib mendakwa wang yang diterima berbilion ringgit di dalam akaunnya ketika beliau memegang jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada waktu itu merupakan derma daripada keluarga kerajaan Arab Saudi.

Bagaimanapun menurut pasukan pendakwaan, wang tersebut adalah dari sumber SRC International Sdn Bhd yang merupakan bekas anak syarikat 1MDB.

Sementara itu, pihak pembelaan mempersoalkan mengapa pasukan penyiasat tidak meneliti perkara tersebut.

Hari ini merupakan hari ketiga pasukan pembelaan Najib mengemukakan hujah lisan setelah pihak pembelaan menutup penghujahan kes mereka pada 11 Mac lalu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pekan, berdepan satu pertuduhan salah guna kuasa, tiga tuduhan pecah amanah, dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana SRC yang ketika itu merupakan anak syarikat 1MDB.