DAP mengadakan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) seperti yang diarahkan Jabatan pendaftaran Pertubuhan (ROS) dengan bantahan (under protest).

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, DAP juga berpendapat keputusan ROS sebagai satu arahan 'tidak masuk akal'.

"Ini kerana setelah meneliti isu pemilihan semula itu selama berbulan-bulan, DAP berpendapat keputusan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) 'tidak masuk akal'.

"Namun, kita akur kepada tuntutan tersebut kerana DAP adalah parti yang mematuhi undang-undang," katanya pada Kongres Khas DAP 2017 di sini.

Tambah beliau, bagi kepimpinan parti, mereka tidak akan mengambil risiko parti itu dibatalkan kerana tidak menepati peraturan yang ditetapkan.

Pada 17 Julai lalu, DAP menerima surat daripada ROS mengarahkan parti itu mengadakan pemilihan semula CEC.

Arahan itu dikeluarkan kerana ROS menyatakan mereka belum menerima dan mengiktiraf pemilihan parti yang dijalankan DAP pada 15 Disember 2012 dan pemilihan semula pada 29 September 2013.

Pemilihan semula DAP akan diuruskan firma audit bebas, Grant Thornton yang bertindak sebagai pegawai pengurus pilihan raya.

Terdapat 1,356 perwakilan yang layak mengundi bagi pemilihan ini yang melibatkan 62 calon bagi 20 tempat dalam CEC.