DAP hari ini menggesa Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail campur tangan di dalam kes siasatan terhadap syarikat milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo, ianya penting kerana isu ini dilihat sebagai isu antarabangsa.

“Kita juga perlu ingat bahawa kes ini telah menarik perhatian antarabangsa dan saya rasa adalah penting untuk pihak polis membuktikan bahawa mereka serius dan tindakan diambil dengan segera.

“Mereka juga perlu bersedia dengan jawapan secepat mungkin,” katanya selepas membuat laporan polis terhadap syarikat itu di Balai Polis Damansara pada Rabu yang turut dihadiri oleh Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua.

Kata beliau, isu ini juga akan dibawa ke Parlimen minggu hadapan di mana pihaknya akan mengajukan soalan kepada polis berkenaan susulan terhadap kes tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan polis sebanyak mungkin dan ianya sesuatu yang kami pasti akan buat susulan,” kata Ahli Parlimen Puchong itu lagi.

Gobind Singh dan Tony Phua
Pengerusi Biro Undang-Undang DAP Gobind Singh Deo (kanan) dan Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua selepas membuat laporan polis hari ini. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Sementara itu, Pua ketika ditemui wartawan berkata, laporan polis yang dibuat kira-kira jam 11.00 pagi itu telah menggariskan dokumen yang didedahkan Sarawak Report baru-baru ini.

Mengambil kira dokumen tersebut sebagai ‘benar’, beliau menggesa siasatan dilakukan ke atas dakwaan-dakwaan tersebut supaya pihak polis dapat mengesahkannya.

Katanya dalam laporan tersebut, beliau telah menyatakan tentang ‘konspirasi’ yang melibatkan penyalahgunaan wang sejumlah AS$700 juta (RM2.5 bilion).

“Ini satu jenayah yang serius yang melibatkan sejumlah wang yang besar dan berbilion ringgit. Semua ini patut disiasat kerana ia berbaur seperti skandal yang besar,” kata Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

Dalam laporan The Malaysian Insider, Sarawak Report telah mendakwa sejumlah AS$700 juta (RM2.5 billion) pinjaman yang dibayar balik 1MDB kepada PetroSaudi International (PSI) pada September 2009 disalurkan ke sebuah syarikat yang didakwa dikawal oleh Jho Low.

Memetik dokumen serta koresponden emel, Sarawak Report turut melaporkan bahawa Low terlibat merancang keseluruhan usaha sama antara 1MDB dan PetroSaudi pada 2009.

Pada 17 Januari lalu, Pua telah mencabar Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy supaya memberikan keterangan pada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengenai hal ehwal firma pelaburan itu.

Pua berpendapat keterangan kepada PAC adalah cara terbaik bagi Arul Kanda menjelaskan mengenai 1MDB.